Pendapatan Capital A tahun ini dijangka lebih rendah - Utusan Malaysia

Pendapatan Capital A tahun ini dijangka lebih rendah

PENDAPATAN Capital A tahun ini dijangka lebih rendah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Capital A Berhad (Capital A) sebanyak 25 peratus bagi tahun kewangan 2023, setelah mengambil kira penggabungan Asia Aviation Public Ltd (AAV) yang mengendalikan Thai AirAsia (TAA) pada Jun tahun ini.

Menurut nota penyelidikannya, pihaknya turut menyemak turun unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 masing-masing sebanyak 21 peratus dan enam peratus.

Katanya, syarikat berstatus PN17 itu mencatat kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM178.2 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023, menghasilkan LATAMI teras terkumpul RM161.6 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2023.

“Perkembangan ini meleset daripada unjuran firma disebabkan penggabungan perakaunan AAV.

“Bagaimanapun, dengan penambahan lebih banyak kapasiti tempat duduk, faktor muatan diunjurkan kekal kukuh pada hampir 90 peratus,” katanya.

MIDF Research berkata, kelewatan pengaktifan semula keseluruhan pesawat yang pada mulanya ditetapkan pada 23 Ogos, adalah disebabkan kekurangan komponen dan kelengkapan kabin seta keperluan penyelenggaraan untuk pesawat yang sudah lama.

Tambahnya, kumpulan itu kini menyasarkan untuk mengaktifkan semula 35 pesawat tambahan menjelang Disember tahun ini.

“Namun begitu, kami menjangkakan peningkatan lebih tinggi disokong persekitaran hasil semasa yang tinggi.

“Pada suku kedua, tambang kekal 15 peratus lebih tinggi daripada paras sebelum Covid-19 dan dijangka melonjak pada separuh kedua dan mencapai kemuncakya pada suku keempat tahun ini,” ujarnya.

Firma itu berkata, jumlah kapasiti tempat duduk meningkat semula kepada 73 peratus daripada paras 2019 pada suku kedua 2023, manakala faktor muatan kekal sihat pada paras melebihi 85 peratus.

Dalam pada itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) disemak turun kepada 90 sen sesaham daripada RM1 sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya