PETALING JAYA: Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah untuk memburu kejuaraan pertama pada 2023 tidak kesampaian selepas tewas pada final badminton Terbuka Hong Kong, semalam.
Kegagalan melepasi halangan pasangan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan gelaran sebagai naib juara.
Pasangan No. 10 dunia itu dilihat memiliki peluang besar untuk bergelar juara apabila meraih kemenangan mudah 21-14 pada set pertama.
Bagaimanapun, momentum kemenangan gagal dijelmakan pada set kedua dan ketiga, dimana beregu negara terpaksa akur kepada kehebatan gandingan No.8 dunia itu apabila tunduk 24-22, 21-9.
Bagi jurulatihnya Hoon Thien How, berkata secara keseluruhan dia berpuas hati dengan permainan diperagakan anak buahnya meskipun tewas.
Tambahnya, kecederaan dialami Pearly juga tidak serius dan ia berlaku disebabkan keadaan gelanggang licin.
“Saya seronok lihat persembahan mereka, sudah pasti semua pemain pun mahu menang, tetapi tak mengapa, apa pun yang kita kurang dalam perlawanan ini kita akan baiki dan fokus dalam kejohanan seterusnya.
“Pearly okay, (kecederaan dia) tidak serius, dia cedera kerana lantai licin. Itu saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Meskipun tewas, gandingan itu tetap berhasil membawa pulang ganjaran bernilai AS$15,960 (RM74,756.64) selain meraih 7,800 mata tambahan dalam kiraan ranking dunia bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.
Ini merupakan pencapaian Pearly-Thinaah yang kedua musim ini sebagai naib juara selepas meraih tempat kedua di laman sendiri dalam Masters Malaysia 2023, Mei lalu setelah tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Kali terakhir beregu wanita negara itu merangkul kejuaraan adalah memenangi Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu selepas mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.-UTUSAN