PEMINAT tegar minuman berasaskan kopi kini tidak perlu lagi merantau ke setiap negeri bagi menikmati secawan hidangan tersebut.
Luck Bros Kopi yang mempunyai empat cawangan di Kota Damansara, Puchong, Petaling Street dan KLIA2, tampil dengan menu istimewa Kopi 5 Negeri yang dihidangkan lima cawan dalam satu dulang.
Menariknya, serbuk atau biji kopi tersebut didatangkan khas dan ditempah daripada pembekal setiap negeri iaitu Kuala Lumpur (KL), Melaka, Penang, Ipoh dan Johor Bahru.
Selepas dibancuh, kelima-lima kopi ini juga mempunyai warna dan rasa yang berbeza antara satu sama lain.
Jenis kopi:
Kopi KL: Satu-satunya kopi yang dibancuh menggunakan biji kopi dan mempunyai rasa lebih kaw.
Kopi Johor: Menggunakan serbuk daripada biji kopi yang dipanggang.
Kopi Penang: Paling kaw dengan rasa yang lebih pahit berbanding kopi lain.
Kopi Ipoh: Rasa lebih nipis sesuai bagi bukan pencinta dan penggemar kopi.
Kopi Melaka: Dikatakan paling sedap sebab dibancuh dengan gula Melaka.
Bahan-bahan:
-Serbuk atau biji kopi.
-Susu sejat.
-Gula Melaka (hanya untuk kopi Melaka).
-Air panas.
Cara penyediaan:
1. Masukkan serbuk kopi (kecuali kopi KL menggunakan biji kopi) ke dalam bancuhan.
2. Campurkan susu sejat dan bancuh dengan air panas. Bagi kopi Melaka, ia dibancuh khas dengan gula melaka.
3. Kacau sehingga sebati dan sedia dihidangkan bersama ketulan ais. -UTUSAN