MELALUI hari tua tanpa perkhidmatan dan kemudahan sesuai dengan tahap usia, pasti bukan perkara mudah.
Bayangkan, bagaimana golongan rentan yang berumur 60 tahun ke atas mahu hidup berdikari jika fasiliti tidak tersedia untuk mereka?
Situasi bertambah sukar bagi mereka yang sebatang kara dan perlu bergerak sendirian untuk ke mana-mana.
Itu antara realiti bakal berlaku dalam tempoh kurang tujuh tahun lagi apabila kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia dijangka berusia melebihi 60 tahun.
Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hayati Kadir @ Shahar mendedahkan Malaysia masih belum bersedia untuk menjadi negara menua pada 2030.
Menyediakan perkhidmatan serta kemudahan bagi memenuhi keperluan rakyat dan dalam masa sama menguruskan perkembangan ekonomi negara antara cabaran perlu dihadapi kerajaan.
Ia berikutan kadar peningkatan warga emas yang pantas berbanding 30 tahun lalu di samping kekangan sumber.
“Umumnya, negara belum ke arah itu, malah terkebelakang berbanding negara membangun lain.
“2030 sudah dekat tetapi prasarana belum lagi menyeluruh untuk menghadapi populasi warga emas yang meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pandangan itu disokong oleh kajian yang dilakukan penyelidik institusi berkenaan termasuk berkaitan pengangkutan dan mobiliti warga emas.
Kata Hayati, pengangkutan awam sedia ada kini seperti bas disifatkan tidak mesra warga emas kerana kebanyakannya tiada kemudahan pelantar atau laluan khas untuk golongan berkenaan.
“Kita dapati kebanyakan kawasan awam juga tidak disediakan tempat duduk dan pemegang khas di tandas untuk keperluan golongan itu,” katanya.
Jelasnya, Malaysia perlu mencontohi Jepun yang merupakan negara tua dan melakukan persediaan lengkap daripada semua segi.
Bayangkan, bagaimana golongan rentan yang berumur 60 tahun ke atas mahu hidup berdikari jika fasiliti di negara ini masih tidak mesra warga emas?
Tua daif, tak sempurna
Hayati turut melahirkan kebimbangan warga emas menua dalam keadaan daif dan tidak sempurna jika tiada perubahan struktur penyampaian kemudahan dan perkhidmatan dilakukan.
“Sekarang merupakan tempoh paling sesuai membuat perubahan berkenaan daripada peringkat Persekutuan hingga ke pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pendekatan kebajikan dan institusi yang hanya tertumpu kepada kumpulan sasar warga emas daif juga perlu ditambah baik agar lebih ramai yang akan mendapat manfaat.
“Keutamaan perlu diberikan kepada warga emas dalam komuniti bagi memastikan kebolehcapaian dan kemampuan mereka untuk mendapatkan kemudahan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan,” katanya.
Warga emas dan golongan muda juga perlu menjaga kesihatan sejak awal agar tidak bergantung kepada orang lain dan dapat menjalani kehidupan lebih sejahtera di usia emas.
Kajian dilakukan menunjukkan pergantungan kepada keluarga untuk sumber kewangan dan penjagaan menyebabkan golongan itu cenderung mengharapkan bantuan daripada kerajaan di samping sumbangan perubatan dan keperluan asas di hari tua mereka.
“Sebab itu promosi penjagaan kesihatan penting kerana kita mahu mengelakkan warga daripada ditimpa risiko penyakit, sekaligus jadi beban kepada keluarga dan kerajaan kerana perlu menampung kos perubatan yang tinggi,” katanya.
Peranan MyAgeing
MyAgeing berfungsi sebagai pusat kebangsaan untuk penyelidikan dalam gerontologi, geriatrik dan geronteknologi serta memacu inovasi untuk menangani cabaran dan peluang multidimensi penuaan penduduk.
Ia menjadi hab intelektual dan fizikal bagi penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (RCDI) mengenai penuaan.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), MyAgeing diberi mandat menjalankan penyelidikan bagi menyokong penuaan aktif dan produktif.
Sejak penubuhannya pada 2002, institusi ini menyiapkan 98 projek penyelidikan di samping menerbitkan lebih 300 jurnal.
Antara penemuan yang diperolehi ialah berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi dan diabetes dalam kalangan warga emas yang meningkat hampir dua kali ganda dari 2005 hingga 2013.
Kajian turut mendapati 77.6 peratus warga emas tidak mempunyai rancangan untuk berpindah dan hidup berdikari.
Statik tingkat risiko penyakit
Selepas tempoh persaraan, kehidupan warga emas berubah 360 darjah.
Gaya hidup yang dahulunya aktif hilang sekelip mata apabila mereka sekadar duduk berehat di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti.
Paling kurang mereka cuma bersantai di kedai kopi atau beribadah di surau.
Menurut Hayati, hal itu disebabkan persepsi masyarakat kononnya golongan pesara hanya perlu statik di rumah sekali gus menyebabkan mereka takut untuk keluar dari kepompong berkenaan.
“Tidak kira latar belakang kerjaya mereka dahulu profesional atau pekerja biasa, tetapi selepas bersara mereka seolah-olah buntu tidak tahu untuk buat apa.
“Statik di rumah meningkatkan risiko penyakit kerana pemakanan tidak terjaga di samping otot makin lemah, mudah mendapat penyakit nyanyuk dan kemurungan atau kesepian,” katanya.
Universiti Era Ketiga
Perkhidmatan Universiti Era Ketiga (U3A) dirintis di MyAgeing bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat untuk warga emas.
Menerusi pembelajaran sepanjang hayat, golongan sasar bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, malah memperkasakan aspek pembangunan kendiri serta kehidupan bermasyarakat.
Ia sejajar dengan empat tonggak pendidikan Pertubuhan Pendidikan Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu learning to know, to do, to live dan to be.
Hayati berkata, pembelajaran boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, sama ada di dalam mahu pun luar bilik darjah.
Ketika ini lebih 30 kursus pendek ditawarkan di U3A secara dalam talian dan fizikal merangkumi seni, penuaan dan kesihatan, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), pengajian Islam, bahasa, skil hidup di samping muzik dan tarian.
‘Hidup saya sunyi’
Pesara guru matematik tambahan dari Seri Kembangan, Zurina Zainal Abidin, 64, memilih menyambung pengajian di U3A, MyAgeing selepas disahkan memiliki simptom kemurungan.
Hatinya gelisah dan sedih apabila keempat-empat anaknya keluar dari rumah selepas masing-masing berumah tangga.
“Anak bongsu berkahwin tahun lalu dan sejak itu saya rasa hidup bertambah sunyi kerana suami sibuk berulang-alik menjaga ibu mentua yang sakit.
“Perasaan itu bertambah teruk apabila saya sering terbayang memori ketika anak-anak masih kecil hingga badan jadi berpeluh, sukar tidur malam dan menangis,” kongsinya.
Mengatasi penyakit itu, Zurina mengubah gaya hidupnya dengan menyertai pertubuhan bukan kerajaan di taman perumahannya dan terkini mengikuti pembelajaran sepanjang hayat di U3A, bulan lalu.
Nenek kepada empat cucu itu memilih tiga kursus jangka pendek secara fizikal iaitu tarian folk dan singa di samping senaman qigong.
“Kita biasa dengar stereotaip yang orang tua hanya perlu beribadah, tetapi saya tidak mahu usia emas dihabiskan dengan aktiviti itu sahaja.
“Apabila kawan memaklumkan tentang U3A, saya terus membuat pembacaan di internet dan teruja untuk belajar ilmu baharu iaitu senaman qigong serta tarian,” katanya.
Pembelajaran seumpama itu bukan sahaja dapat mengaktifkan minda serta tubuh, malah menambah kenalan baharu di samping dapat mengisi masa lapang tanpa terlalu berfikir tentang kesedihan.
Zurina turut berharap lebih banyak pusat aktiviti warga emas dapat diwujudkan dalam komuniti untuk merangsang produktiviti golongan sepertinya.
“Malaysia tahu ia bakal jadi negara tua, malangnya tiada pusat aktiviti warga emas dalam komuniti yang menawarkan program seperti di U3A.
“Saya selalu katakan, jika ada calon wakil rakyat mengemukakan manifesto menyediakan kemudahan sedemikian untuk warga emas di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya, maka saya pasti akan mengundinya,” ujarnya. -UTUSAN