PETALING JAYA: Kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou akhirnya memecahkan kebuntuan pingat selepas tiga hari temasya itu membuka tirai apabila meraih satu perak dan empat gangsa, setakat pukul 6 petang semalam.
Bagaimanapun, impian menyaksikan atlet wusyu, Tan Cheong Min meraih emas tidak kesampaian dalam acara gabungan nanquan dan nandao selepas dikecewakan jaguh China, Chen Huiying.
Diletakkan antara harapan negara untuk meraih emas, Cheong Min telah memberi segalanya di atas gelanggang namun hanya mampu mengutip 19.419 mata keseluruhan berbanding Huiying yang mencatat 19.590 mata.
Atlet berusia 26 tahun itu, mengutip 9.703 mata menerusi acara nanquan pada sebelah pagi, dan 9.716 mata pada acara nandao yang berlangsung pada sebelah petang.
Kejayaan dilakar Cheong Min menyaksikan kem wusyu negara menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat di temasya tersebut.
Kali terakhir skuad wusyu memenangi pingat di Sukan Asia adalah menerusi Chai Fong Ying yang meraih emas acara gabungan taijiquan dan taijijian pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Sementara itu, empat pingat gangsa masing-masing disumbang menerusi sukan pelayaran dan berbasikal.
Dua gangsa menerusi sukan pelayaran disumbangkan oleh Asnawi Iqbal Adam yang beraksi dalam acara ILCA 4 dan Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen (Windsurfing RSX wanita).
Dalam pada itu, dua lagi pingat gangsa dihadiahkan menerusi trio pecut lelaki dan wanita berbasikal trek negara menerusi acara masing-masing.
Trio wanita negara dibarisi Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati dan Anis Amira menghadiahkan khabar gembira apabila menyumbangkan gangsa selepas menewaskan trio Taiwan dengan catatan masa 49.025s berbanding lawan 50.344s.
Trio pecut lelaki pula dibarisi Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengatasi trio Taiwan dengan catatan masa 44.165s berbanding lawan 44.276s dalam perebutan gangsa.-UTUSAN