PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky masih mengharapkan sentuhan bekas jaguh Asia, Lee Zii Jia untuk memacu kejayaan negara dalam acara berpasukan lelaki di Sukan Asia biarpun pemain itu kini bergelut dengan masalah prestasi.
Bagi Rexy yang kini turut menyelia perkembangan skuad perseorangan lelaki, biarpun kelibat seorang lagi pemain, Ng Tze Yong dilihat lebih menyerlah ketika ini, namun pengendali kelahiran Indonesia masih merasakan Zii Jia mempunyai pengalaman luas dan rekod cemerlang ketika mewakili negara ketika acara berpasukan.
Buktinya Zii Jia pernah tampil aksi memberangsangkan apabila menang kesemua empat perlawanannya ketika saingan Piala Sudirman di Suzhou, China Mei lalu.
Tze Yong pula dilihat mampu untuk menjadi penyumbang mata memandangkan dia sudah mampu untuk menewaskan beberapa pemain bintang untuk tahun ini, cuma kurang konsisten untuk meneruskan momentum kemenangan itu di kejohanan antarabangsa.
“Belum ada sebarang perbincangan siapa akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama atau apa. Namun, untuk acara berpasukan sudah tentu kita memerlukan seorang pemain yang berpengalaman seperti Zii Jia.
“Prestasi Zii Jia juga bagus dalam kejohanan berpasukan sebelum ini. Cuma, untuk kejohanan individu dia masih lagi mencari rentak bersama jurulatihnya Wong Tat Meng. Saya harap dia akan lebih baik di Terbuka Hong Kong (bermula Selasa ini) dan di Sukan Asia nanti.
“Bagi acara berpasukan, kita tidak boleh cakap siapa hari ini bermain baik atau apa, kita kita perlukan pemain yang mempunyai kekuatan mental dan Zii Jia sudah buktikan banyak kali dalam kejohanan berpasukan,” jelas Rexy yang ditemui di ABM, Bukit Kiara.
Cabaran kini tertumpu kepada persaingan perseorangan lelaki ketiga negara antara Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.
Selain itu, Malaysia dilihat tidak mempunyai masalah dalam acara beregu lelaki apabila membariskan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta gandingan Goh Soon Huat-Chen Tang Jie dengan kem latihan pusat negara akan bermula pada 19 September ini.
Lima tahun lalu di Jakarta, perjalanan skuad berpasukan lelaki negara terhenti di peringkat suku akhir di tangan Jepun setelah tumpas dengan keputusan 0-3.-UTUSAN