PUTRAJAYA: Malaysia dijangka menerima lebih banyak pelaburan dan kerjasama susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China itu pada Ahad ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia dapat direalisasikan hasil hubungan dua hala yang rapat antara kedua-dua negara khususnya antara Anwar dengan rakan sejawatan dari China (Li Qiang).
Beliau berkata, kerjasama rapat itu akhirnya dapat melancarkan kemasukan lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan ke Malaysia.
“Lawatan Anwar sebanyak dua kali ke republik itu dalam tempoh beberapa bulan adalah satu pengiktirafan bahawa China antara rakan perdagangan utama yang mempunyai banyak sinergi di antara kedua-dua negara.
“Amat jelas setiap kali Perdana Menteri ke China, bukan sekadar beri senyuman dan lambai tangan, ia disusuli dengan banyak perkara.
“Saya tahu ada Memorandum Persefahaman (MoU), pelaburan yang dibawa ke Malaysia, malah pejabatnya sentiasa mendapatkan perkembangan dengan jabatan berkaitan,” katanya ketika ditemui pada satu program di sini, hari ini.
Anwar dijadual menghadiri Ekspo China-Asean Ke-20 (CAEXPO) 2023 pada Ahad di Nanning dan lawatan itu antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara serta sebagai persiapan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.
China adalah rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun lalu adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021. – UTUSAN