PETALING JAYA: Baru melancarkan single kolaborasi bersama band popular Indonesia, ST12, penyanyi, Hazama menganggap itu sebagai langkah pertamanya untuk menembusi pasaran muzik negara seberang itu.
Kongsi Hazama, dia sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk mencuba nasib di Indonesia lantas tawaran berkolaborasi dengan ST12 menerusi lagu Harapan Tak Kunjung Usai tidak harus dilepaskan.
“Sekecil-kecil peluang adalah satu langkah yang memungkinkan lebih banyak ruang menembusi pasaran muzik sana. Kita juga sedia maklum, di sana, kapasitinya ratus juta penduduk.
“Jadi kolaborasi bersama ST12 ini adalah satu pencapaian dan sekiranya saya berjaya membawa muzik tempatan ke sana, pastinya itu adalah kebanggaan malah kepuasan sebagai seorang penyanyi.
“Saya belum pernah cuba menembusi pasaran muzik sana dan Alhamdulillah, Harapan Tak Kunjung Usai menerima respons positif. Malah mereka juga terbuka dan ada yang suka dengan suara saya,” ujarnya
Penyanyi Ku Relakan Jiwa itu berkata demikian selepas pelancaran lagu ciptaan Pepep ST12 itu di sini semalam.
Dalam pada itu, bercerita tentang pengalaman bekerja bersama ST12, Hazama memaklumkan proses rakaman mengambil masa lebih kurang empat jam dan dilakukan di studio di Bandung, Indoensia.
Malah, dia juga sempat merakam muzik video dan selain terlibat dalam beberapa rangka promosi di sana.
“Sebelum menerima tawaran, saya ambil masa seminggu juga untuk mendengar dan menjiwai lagu tersebut. Saya mahu kekalkan identiti Hazama dan dalam pada masa sama, menyulam jiwa ST12.
“Saya juga dimaklumkan ada perancangan untuk single kedua duet bersama ST12. Tetapi selepas promosi Harapan Tak Kunjung Usai selesai. Saya tak pernah terfikir pun untuk berduet dengan ST12,” katanya.
Harapan Tak Kunjung Usai merupakan kolaborasi Indonesia-Malaysia melibatkan dua syarikat rakaman, PT. Dua Suara Medan dan label muzik terkenal Malaysa, Luncai Emas.