PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjuarai Liga Super sebagai hadiah teristimewa buat seluruh penyokong setia skuad Harimau Selatan.
Menerusi perkongsian di laman sosialnya, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengakui kejayaan anak buah Esteban Solari menoktahkan kejuaraan liga pada musim ini selepas menundukkan PDRM FC 4-0 malam tadi adalah cukup istimewa.
Tulisnya, ia adalah kejuaraan ke-10 berturut-turut dan merupakan hadiah buat penyokong JDT yang juga sebahagian keluarga pasukan berkenaan.
“Ini (kejuaraan Liga Super ke-10) untuk anda keluarga JDT,” tulisnya berserta gambar grafik kejuaraan ke-10 Harimau Selatan.
Dalam pada itu, bekas pemain JDT, Safee Sali turut mengucapkan tahniah kepada JDT selain menyifatkan kejayaan itu menyerlahkan kredibiliti TMJ dalam memimpin Harimau Selatan ke tahap terbaik dan mengecapi kejayaan demi kejayaan.
“Jadi juara Liga Super selama sedekad. Sepuluh tahun berturut-turut memang satu pencapaian yang menakjubkan. Mempunyai seorang figura seperti TMJ amatlah terserlah kredibiliti dan mempunyai kelas yang tersendiri.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian JDT dan banyak kenangan terindah bersama kelab ini. Memang nombor 10 yang teramat istimewa.
“Ini adalah contoh terbaik buat semua kelab dengan mempunyai semua fasiliti terbaik, pengurusan yang baik, kebajikan yang selalu diutamakan dan akademi yang bagus,” kata Safee di laman media sosialnya.
Kejayaan tersebut menyaksikan JDT melakar sejarah besar apabila mempertahankan kejuaraan Liga Super selama sedekad sejak memenanginya pada 2014.-UTUSAN