PETALING JAYA – Pemain skuasy remaja yang sedang meningkat naik, Whitney Isabelle Wilson menjuarai pusingan ketiga Skuasy Sirkit Remaja Kebangsaan CIMB 2023 untuk kategori utama perempuan bawah 19 tahun di Pusat Skuasy Kompleks Astaka, dekat sini, hari ini.
Anak kelahiran Sarawak itu yang baru berusia 15 tahun, tetapi, beraksi untuk kategori bawah 19 tahun menundukkan wakil Negeri Sembilan, Chen Yu Jie menerusi kemenangan straight set 11-2, 11-6, 11-7 dalam perlawanan akhir.
Kejayaan tersebut merupakan gelaran kedua buat Whitney dalam sirkit remaja kebangsaan CIMB untuk tahun ini selepas berbuat demikian di Pulau Pinang, Mei lalu.
“Saya amat bangga dengan kemenangan ini, umur saya baru 15 tahun, tetapi, saya berjaya menewaskan pemain lebih berusia daripada saya.
“Saya tidak pernah menentang Yu Jie sebelum ini, jadi saya hanya turun ke gelanggang mengikut perancangan yang telah dibuat dan tidak terlalu berfikir banyak sangat,” kata Whitney.
Sekalipun usianya masih muda, Whitney telahpun mula diberi pendedahan di pentas antarabangsa dengan mewakili Malaysia pada Kejohanan Remaja Asia di India dan juga Dunia di Australia, baru-baru ini.
Sementara itu, untuk kategori lelaki bawah 19 tahun, Tay Jun Qian yang mewakili Selangor mengetepikan pencabar dari Sarawak, Altamis Aqhar Sallam A. Sufian 11-8, 11-7, 8-11, 11-7 dalam masa 37 minit.
Jun Qian yang merupakan sebahagian daripada skuad remaja kebangsaan ketika ditemui berkata, dia diberi tentangan sengit oleh pencabarnya sehingga dipaksa bermain dalam empat set.
“Pada awalnya, saya cuba untuk membuat beberapa pukulan yang menyukarkan lawan dan strategi itu berjaya.
“Namun, sehinggalah pada set ketiga, lawan mula dapat membaca pergerakan saya dan menghadirkan tentangan sengit,” ujarnya.
Secara keseluruhan Jun Qian gembira dengan pencapaiannya itu dan berharap dapat meneruskan momentum tersebut menjelang Grand Final pada Oktober.
Untuk saingan kali ini, sebanyak enam kategori dipertandingkan dan berjaya menghimpunkan seramai 190 orang pemain dari seluruh negara. – UTUSAN ONLINE
Lain-lain keputusan
Perempuan bawah 15 tahun
Jinoreeka Ning Manivannan (Perak) menang Emelda Camalia (Kedah) 11-13, 12-10, 11-5, 11-3 (32 minit)
Lelaki bawah 15 tahun
Izz Nabil Iman Shahrizan Azrol (Perlis) menang Erwin Kros Christopher 11-9, 11-8, 11-6 (32 minit)
Perempuan bawah 17 tahun
Harleein Tan (Negeri Sembilan) menang Dakshayani Thangaraja (Kuala Lumpur) 11-8, 11-7, 11-8 (25 minit)
Lelaki bawah 17 tahun
Addin Iqwan (Terengganu) menang Abdul Fahmi Abd Basir (Kedah) ) 11-3, 11-3, 11-5 (23 minutes)