KOTA BHARU: Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyasarkan pengurangan Kadar Kecederaan Pekerjaan Negara kepada 2.13 kes bagi setiap 1,000 pekerja menjelang tahun 2025.
Pengarah Bahagian Keselamatan Industri, Ahmad Nazri Abd. Kader berkata, sasaran itu melibatkan seluruh sektor termasuk informal seperti penghantar barang dan e-hailing dan pekerjaan berkaitan jalan raya (WRRS).
Menurutnya, individu yang menunggang motosikal semasa menjalankan tugas termasuk berulang alik ke tempat kerja menjadi penyumbang tertinggi kepada kemalangan.
“Saya yakin dan percaya objektif ini mampu dicapai jika semua pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dengan mempamerkan disiplin yang tinggi bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) (Program Pengurusan Keselamatan Jalan Raya) Tahun 2023 di sini hari ini.
Ahmad Nazri memberitahu, program hari ini bertujuan memberi pendedahan, pendekatan dan panduan sistematik untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kepekaan tentang amalan Keselamahan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) berkaitan jalan raya.
Katanya, ia selaras dengan Teras Strategik 7 (Program 3) Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (2021-2025).
“Antara objektif untuk mengukuhkan WRRS yang menyeluruh melibatkan majikan dan pekerja,” ujarnya. – UTUSAN