SEPANG: Industri sukan elektronik (e-sukan) kini dalam radar dan pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat industri itu mudah terdedah dan membuka peluang kepada aktiviti dan transaksi rasuah.
Beliau berkata, walaupun SPRM belum membuka sebarang siasatan kes, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung aktiviti salah laku rasuah dalam industri itu.
Lebih membimbangkan, katanya, industri itu juga berdepan cabaran kerana ia tidak membabitkan transaksi perbankan sebaliknya dalam bentuk digital seperti bitcoin.
“Kami akan terus berwaspada dengan sebarang aktiviti berunsur rasuah dalam sukan elektronik atau e-sports di negara ini.
“Berdasarkan laporan media antarabangsa, terdapat kenyataan menyatakan tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali sukan elektronik sekali gus terdedah dengan dua risiko rasuah.
“Dua risiko itu adalah kejohanan e-sports yang kompetitif dan tidak terkawal, seterusnya penipuan data digital sukan seperti memanipulasi keputusan perlawanan melalui pelbagai platform,” katanya selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di sini hari ini.
Katanya, industri ini juga terdedah dengan pengaturan perlawanan serta transaksi digital yang dilihat akan menimbulkan masalah kepada pihak penguat kuasa untuk membuat penjejakan.
Bagaimanapun, Azam berkata, buat masa ini SPRM masih belum menerima sebarang aduan berhubung berlakunya kejadian atau kes rasuah dalam e-sukan, namun sentiasa memantau perkara tersebut secara teliti agar tidak menular dalam kalangan masyarakat.
“Jangan sudah berlaku nanti, baru hendak bertindak dan sedar. Industri sukan dahulu dan sekarang masih lagi sama, masih lagi ada aktiviti rasuah membabitkan sukan,” katanya.
Katanya, ketika ini, landskap industri e-sukan dilihat lebih mencabar dan menjadi perhatian kerana potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu dijana oleh sektor itu. – UTUSAN