Golf: Natasha Oon cipta rekod muncul juara di Jelajah Epson

Golf: Natasha Oon cipta rekod muncul juara di Jelajah Epson, Amerika Syarikat

golf
Natasha Oon bersama trofi kemangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain golf profesional wanita Malaysia, Natasha Oon mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai gelaran profesional pertamanya dengan muncul juara Murphy USA El Dorado Shootout dalam siri Jelajah Epson.

Mendahului dengan dua pukulan selepas 36 lubang berikutan catatan 67 dan 70 untuk hari pertama dan kedua, Natasha terus menguasai hari terakhir kejohanan yang berlangsung di  di Kelab Golf Mystic Creek di El Dorado, Arkansas, termasuk mencatatkan satu eagle dan dua birdie dengan  catatan 69 pukulan untuk keseluruhan 10 di bawah par 206, iaitu tiga pukulan mengatasi pemain di tempat kedua Carley Cox dari Amerika Syarikat dan pemain Australia, Robyn Choi.

“Saya sudah lama menunggu saat ini. Nombor kegemaran saya ialah 10 dan saya menamatkan 10 bawah par, jadi saya fikir 10 benar-benar nombor saya,” kata Natasha yang sebelum ini sudah empat kali muncul sebagai naib juara.

Kata Natasha, dia pernah berada dalam kedudukan seperti itu sebelum ini, tetapi beberapa kali terlepas dan sekadar berpuas hari di tempat kedua.

“Apa sahaja yang berlaku akan berlaku. Selepas kali terakhir jadi naib juara, saya terus berusaha. Untuk pusingan ini saya berikan yang terbaik dan eagle itu benar-benar membantu saya,” katanya.

Jelajah Epson ialah jelajah kelayakan rasmi untuk melayakkan diri ke siri Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) yang merupakan sirkit golf wanita terulung di dunia.

Sepuluh pemain terbaik dalam Jelajah Epson akan mendapat kad untuk bermain secara automatik dalam Jelajah LPGA tahun 2024.

Selain memenangai wang tunai US$33,750, Natasha kini turut meletakkan diri pada tangga kedua dalam perlumbaan untuk mendapatkan tempat dalam siri Jelajah LPGA tahun depan.

Keseluruhannya Natasha sudah mengumpulkan wang kemenangan US$147,780 untuk musim ini dan sudah hampir pasti memperoleh kad Jelajah LPGA tahun depan.

Grabriela Ruffels dari Australia, yang tidak bermain dalam kejohanan itu, kekal di tangga teratas dengan US$156,283.

Natasha menjadi pemain profesional pada Jun tahun lalu selepas menonjol ketika beraksi mewakili San Jose State University.

Natasha adalah rakyat Malaysia  ketiga yang menang dalam Jelajah Epson, selepas Lim Siew Ai (2000) dan Kelly Tan (2019). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya