“AKAK tak buat lagi dah servis katering sebab kos barangan basah sekarang meningkat. Itu belum lagi kira harga beras. Takkan lah nak jual nasi guna beras import. Sekampit pun dah berapa. Belum lagi kos minyak sebab perlu ke sana sini nak cari beras dan barangan lebih murah,” kata kakak A ini sewaktu saya bertanya mengenai statusnya di media sosial yang memaklumkan bahawa dia terpaksa memberhentikan khidmat katering yang dilakukan secara kecil-kecilan selepas diberhentikan kerja tiga tahun lalu akibat bebanan kos.
Awal-awal dulu memang perniagaanya kencang dalam kalangan jiran tetanga dan kenalan rapat yang menempah dengannya untuk buat kenduri doa selamat, atau majlis hari jadi anak mahupun majlis tahlil di surau berdekatan kediamannya di Kampung Puah.
Tetapi bila setiap tahun trend harga barangan naik mencanak-canak, sedikit demi sedikit kakak A merubah strategi supaya perniagaannya tidak menambah kerugian pada diri sendiri. Selain menaikkan harga menu ditawarkan, kecilkan saiz menu pun sudah dilakukannya.
Pada satu ketika dia turut mensyaratkan pelanggan untuk datang sendiri ambil tempahan di rumahnya bagi mengelakkan pelanggan menanggung kos penghantaran.
Penghujung tahun lepas dia mensyaratkan menu dalam kuantiti tertentu sahaja diterima bagi menjimatkan kos pengeluaran.
Namun dengan situasi sekarang dengan kekurangan beras tempatan, masalah itu bukan dirasainya kakak A seorang tetapi hampir semua orang.
Takkan nak salahkan pelanggan sebab tidak mampu membayar harga tempahan makanan sebab pelanggan pun berkira-kira nak beli barang bagi memastikan dapur sendiri berasap.
“Formula dah tak boleh pakai, peniaga kecil macam akak ni terpaksa gulung tikar,” katanya dalam nada sedih.
Sedih sebab memasak itu sahajalah kemahiran di miliki. Dengan usia separuh abad, apa lagi pekerjaan boleh dilakukan wanita seusianya? Ada ke yang nak ambil wanita berusia sebagai tenaga kerja?
Setahu saya memang tidak ada, malah majikan hari ini pun ramai yang mengambil pekerja muda sebab tidak perlu membayar gaji yang tinggi.
Nak bawa grab seperti orang muda? Daripada merisikokan diri bekerja dalam sektor penghantaran baiklah duduk di rumah sahaja.
Dalam kita berbicara soal kenaikan kos ini, timbul kehairanan apabila ada segelintir insan tanpa rasa bersalah, hampir setiap hari berkongsi gambar mengembara ke luar negara dan menikmati hidangan sedap-sedap.
Apa yang ingin ditonjolkan? Tahulah awak hidup senang, tetapi dalam situasi sekarang ini cubalah tunjuk cerdik sikit kepada orang lain yang sedang sesak.
Tak perlu tunjuk satu dunia kemewahan dimiliki, kala orang lain nak membeli beras pun berkira-kira. Gunakanlah status pempengaruh ke arah yang lebih disanjungi.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia