MELAKA: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki warga Rohingya yang baru dikenalinya di Klebang, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 15 September lalu yang dibuat abang mangsa di Balai Polis Batang Tiga.
Kata beliau, siasatan mendapati mangsa yang masih bersekolah keluar dari rumahnya pada 14 September kira-kira pukul 2 petang untuk bersiar-siar bersama seorang lelaki Rohingya berusia 14 tahun yang baru dikenalinya.
“Suspek pertama membawa mangsa menaiki motosikal pada pukul 4 petang. Mereka kemudian bertemu seorang lagi lelaki Rohingya berusia 27 tahun yang juga suspek kedua di sebuah restoran di Klebang.
“Selepas itu mereka bersiar-siar dengan menaiki sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam dipandu suspek kedua sebelum kedua-dua lelaki itu disyaki bertindak merogol mangsa di dalam kenderaan sama di tepi pantai. Mangsa kemudian ditinggalkan di sebuah taman permainan di kawasan Batu Berendam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Zainol, bertindak atas laporan, polis mengesan dan menahan kedua-dua suspek pada hari sama dan direman tujuh hari sehingga 21 September ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek pertama tidak bekerja sementara suspek kedua seorang peniaga dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Suspek kedua tidak mempunyai lesen memandu manakala kereta dan motosikal yang digunakan kedua-dua suspek didaftarkan atas nama dua rakyat tempatan. Selain itu, pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN