PETALING JAYA: Masih berteka-teki berhubung dakwaan hubungan cintanya dengan Mr. Doktor kini sudah berakhir, pelakon, Sophia Albarakbah lebih senang untuk mengunci mulut.
Katanya, dia tidak mahu memberi sebarang komen berkaitan kehidupan peribadi dan hanya memberi fokus kepada perkembangan kerjaya seninya semata-mata.
“Saya malas nak komen mengenai kehidupan peribadi. Setakat ini saya okey dan tengah sibuk bekerja untuk filem yang bakal menyusul.
“Doakan saya dapat lelaki yang baik-baik, itu sahaja. Kehidupan saya seperti biasa, sama sahaja macam sebelum-sebelum ini,” katanya.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan bersama Viu Lokal Lah di sini, semalam.
Bagaimanapun, aktres filem Mimaland itu mengakui masih berkawan baik dengan Mr. Doktor.
“Saya terbuka sahaja, apa-apa pun kami masih kekal berkawan jadi jika kawan-kawan nak datang teman saya menghadiri acara, datang sahaja.
“Macam saya cakap tadi, saya nak fokus kerjaya dan kontroversi seperti itu tidak mengganggu konsentrasi saya,” ujarnya.