PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terutama ketika mengunjungi negara-negara yang dilaporkan mempunyai peningkatan jumlah kes jangkitan cacar monyet.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, mereka yang mempunyai perancangan untuk melancong ke negara-negara tersebut perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama ketika menjalankan aktiviti berbentuk gaya hidup.
“Baru-baru ini pada 25 Ogos lalu, Ketua Pengarah Kesihatan ada mengeluarkan kenyataan mengenai dua jangkitan cacar monyet yang dikesan di Malaysia dan kita memantau secara teliti jangkitan itu.
“Pada masa sama, kepada sesiapa yang ingin pergi ke negara-negara yang mempunyai jumlah penularan cacar monyet yang tinggi, nasihat kami adalah berhati-hati dalam melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk ‘life style’,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas perasmian Persidangan HTAsiaLink ke-11 di sini hari ini.
Lukanisman berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Bangkok yang sedang memantau rapi penularan cacar monyet berikutan jumlah jangkitannya terus meningkat.
Media melaporkan, Timbalan Gabenor Bangkok, Tavida Kamolvej berkata, terdapat peningkatan kes cacar monyet di ibu negara Thailan itu pada bulan lalu dengan kira-kira 80 jangkitan dilaporkan setakat ini dengan tumpuan menunjukkan kes tertumpu di kawasan popular pelancong.
Pada 25 Ogos lalu, KKM mengesahkan dua kes positif cacar monyet membabitkan masing-masing seorang lelaki warga asing dan tempatan.
Sementara itu, mengulas mengenai persidangan HTAsiaLink, Lukanisman berkata, ia dapat memberi peluang kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dan berbincang bersama pakar antarabangsa mengenai isu-isu kesihatan semasa.
Jelasnya, persidangan tersebut juga memberi peluang kepada penyelidik muda dalam bidang HTA untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama penyelidik-penyelidik lain.
“Ini merupakan satu peluang untuk kita membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan teknologi kesihatan dan hasil daripada perbincangan itu kemungkinan besar dapat menambah baik dari sudut penggubalan dasar-dasar kita,” katanya. – UTUSAN