PERJALANAN 50 minit dari Cheras ke Lenggeng, Negeri Sembilan, pada cuti hujung minggu, baru-baru ini tidak terasa lama.
Seawal 9.30 pagi memulakan perjalanan, saya begitu teruja melalui pekan lama Semenyih sebelum mengambil simpang kiri ke Bukit Broga.
Dari Bukit Broga, pemanduan hanya memerlukan 15 minit sebelum tiba ke destinasi. Perjalanan ke Lenggeng juga bak saujana mata memandang kerana disajikan suasana kampung dan menghirup udara segar dari pokok yang menghijau.
Kunjungan saya bersama seisi keluarga tambah bermakna apabila disambut kawanan rusa yang bebas berkeliaran di kawasan ladang.
Selain jinak, lebih 10 rusa yang dibebaskan di kawasan itu membuatkan pengunjung terasa lebih dekat dengan haiwan. Hanya berbekalkan lobak merah berjaya mengumpan kawanan rusa untuk datang mendekati.
Itu suasana yang dapat dirasai di Rabbit Fun Land. Sekali dengar, pasti kita terbayang tempat ini khusus untuk arnab semata-mata.
Namun, sangkaan itu ternyata meleset kerana ladang tersebut mempunyai lebih 15 jenis haiwan lain seperti unta, lembu, kambing, ayam, itik, ikan keli, guinea pig, burung unta dan burung merak.
Walaupun tidaklah sebesar saiz sebuah zoo, namun, saya rasa tempat ini lebih menarik dan sangat bersesuaian untuk kanak-kanak belajar berjinak dengan binatang.
Pemiliknya, David Wong berkata, banyak aktiviti disediakan khususnya kepada pengunjung berkumpulan seperti lawatan daripada pihak sekolah pada hari biasa.
“Antaranya kami menyediakan aktiviti memerah susu lembu, melihat bayi arnab, menunggang kuda dan bagi ikan makan.
“Lembu susu di sini ada yang berusia lingkungan empat hingga enam tahun dan berupaya menghasilkan susu dalam kuantiti yang besar,” katanya yang mempunyai seramai 12 petugas.
Tidur dengan haiwan
Kalau teringin tidur sambil dikelilingi bunyi bising ayam berkokok, anjing menyalak, kambing mengembek, itik mengakak, kuda meringkik dan rusa berdengking, anda boleh cuba bermalam di sini.
Kata pemiliknya, terdapat lima bilik dengan caj RM100 dikenakan bagi setiap pengunjung yang dipakejkan dengan pelbagai aktiviti lain di kawasan ladang.
“Ada juga aktiviti bermain bersama arnab. Kalau nak beli arnab pun boleh,” katanya yang beroperasi di Bukit Broga pada 2012, sebelum berpindah ke lokasi tersebut pada 2015.
Bagi kanak-kanak, selepas puas mengelilingi ladang, mereka boleh meluangkan masa meniti jambatan gantung, melompat di trampolin atau tempah sahaja makanan di kafe.
Saya begitu teruja apabila berpeluang merasai sendiri kopi susu lembu yang diperah segar dari ladang.
Bagi saya, tiga jam pun belum cukup puas untuk menghabiskan masa di sini. -UTUSAN