PETALING JAYA: Kejuaraan Cub Prix 2023 pusingan keenam menyaksikan dua pelumba meraih gelaran sulung mereka musim ini dalam perlumbaan yang berlangsung di Teluk Intan, semalam.
Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran ternyata sangat puas hati dengan kemenangan itu yang telah menamatkan penantiannya untuk menjulang kejayaan bagi kategori CP150.
Afif menamatkan saingan dengan catatan masa 15 minit 45.009 saat, mengenepikan rakan sepasukannya, Akid Aziz di tempat kedua dan pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anur di tempat ketiga.
Dalam lima pusingan sebelum ini, Afif yang juga penyandang juara hanya meraih sekali sahaja kedudukan di podium iaitu tempat kedua, menjadikan perlumbaan di Perak hujung minggu lalu sebagai pembakar semangat untuk dia beraksi lebih baik dalam mengharungi baki empat pusingan lagi.
“Setelah sekian lama saya tidak menaiki podium dan hanya dapat tempat kedua dalam perlumbaan sebelum ini (di Terengganu, Julai lalu), kali ini saya juara.
“Perlumbaan kali ini sangat sengit, lagi-lagi dari segi jentera yang saya tunggang tetapi saya dan pasukan saling bekerjasama dan bertukar maklumat untuk menyesuaikan jentera dengan keadaan.
“Saya tidak kisah sangat dengan hal-hal seperti itu, asalkan kami menang dan itu pun telah berikan saya semangat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kategori CP125 pula menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Adie Putra Sukarno turut meraikan kemenangan sulungnya musim ini.
Walaupun bermula di petak ke-16, Adie berjaya memintas semua pelumba di hadapannya dan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12 minit 55.144 saat yang memastikannya meraih gelaran juara.
Lebih manis, ini juga adalah kali pertama Adie bertanding dalam kategori CP125 dan selepas lima perlumbaan, Litar Teluk Intan menjadi saksi dia menjulang kejayaan sulungnya itu. -UTUSAN