PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menanam impian untuk menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia muncul sebagai juara dunia.
Bagaimanapun, Zii Jia tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu memberi fokus kepada permainan untuk memastikan dia kembali ke prestasi sebenar.
“Kami (Malaysia) sudah ada juara dalam acara beregu. Sekarang ramai yang menanti siapa yang akan menjadi juara dalam acara perseorangan dan sudah tentu saya mahukannya.
“Namun, saya perlu kekal tenang dan fokus satu demi satu perlawanan,” kata Zii Jia selepas lulus ujian pertama Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark kelmarin.
Dalam pusingan pertama, Zii Jia melupakan kontroversi apabila melakar kemenangan 21-13, 21-15 ke atas pemain No.5 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie dalam aksi yang berlangsung di Royal Arena.
Pemain ranking No.13 dunia itu berkata, kemenangan ke atas Jonatan adalah sesuatu yang diperlukannya bagi meningkatkan tahap keyakinannya ketika berdepan strategi lawan.
“Kemenangan ini sangat membantu dan ia meningkatkan lagi tahap keyakinan saya. Inilah yang saya perlukan. Dalam perlawanan itu, saya beritahu kepada diri saya, tidak kira berapa mata pun Jonatan mendahului, saya perlu terus berjuang,” katanya.
Pada pusingan kedua hari ini, Zii Jia seterusnya akan bertemu pemain meningkat naik dari Kanada, Brian Yang untuk aksi perebutan tiket ke pusingan ketiga, Rabu ini.
Sementara itu, Ng Tze Yong mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengatasi pemain China, Zhao Jun Peng semalam.
Pada aksi pusingan pertama di Royal Arena, Tze Yong yang kini di ranking ke-22 dunia, mengambil masa 47 minit untuk menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi 2022 itu dalam straight set 21-19, 26-24.
Bagaimanapun, laluan sukar menanti pemain berumur 23 tahun itu apabila dijangka bertemu pemain No.12 dunia, Anders Antonsen dari Denmark.-UTUSAN