PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghampiri gelaran juara keseluruhan Karnival Sukan MASUM 2023 untuk kali ke-4 berturut-turut, dengan kutipan pingat terbanyak iaitu, 19 emas, 19 perak dan 16 gangsa.
Karnival Fasa 1 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada 14 hingga 20 Ogos lalu menyaksikan UiTM merangkul tujuh daripada pingat emasnya menerusi sukan memanah.
Kecemerlangan itu sekali gus mengenepikan pencabar utama temasya, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mempunyai Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah tewas di tangan UiTM yang turut membolot lima perak dan lima gangsa.
“Atlet-atlet dari pasukan UiTM telah beraksi penuh semangat merangkul juara dalam saingan berdepan pencabar mereka yang bertaraf antarabangsa.
“Selain memanah, UiTM juga mengutip pingat dalam sukan taekwondo di mana kami mendapat johan keseluruhan hasil pungutan enam emas, empat perak dan lapan gangsa. Bagaimanapun, atlet UiTM berdepan laluan sukar di separuh akhir kerana bertemu lawan yang pernah bertanding di peringkat antarabangsa.
“Pasukan bola baling juga tidak ketinggalan menyumbangkan pingat dengan mendapat emas berganda,” kata UiTM dalam satu kenyataan.
Di tempat kedua keseluruhan, UiTM berdepan pencabar terdekatnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memperoleh pungutan pingat 14 emas, 10 perak dan 10 gangsa.
UiTM perlu mengekalkan momentum pungutan pingat di kedudukan teratas dalam Fasa 2 yang akan berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 23 hingga 30 Ogos ini untuk baki lapan sukan yang akan dipertandingkan antarabangsa silat, karate, bola jaring dan ragbi lelaki 15 sebelah.-UTUSAN