Tidak Rasmi: Gerakan kalah di kesemua 19 kerusi DUN ditandingi di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tidak Rasmi: Gerakan kalah di kesemua 19 kerusi DUN ditandingi di Pulau Pinang

SEBAHAGIAN calon Gerakan dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di George Town, Pulau Pinang malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Parti Gerakan sekali lagi ditolak secara total oleh pengundi Cina di Pulau Pinang selepas kesemua 19 calon mereka tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 9 malam ini.

Malah, percubaan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau untuk ‘mencuri’ kelebihan dengan bertanding di kerusi majoriti Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas juga tidak membuahkan hasil.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi setakat pukul 8.45 malam, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang hanya mendapat 13,629 undi, berbanding calon PH-BN, Azrul Mahathir Aziz yang memperoleh 15,410 undi.

Azrul Mahathir juga telah mengumumkan di media sosial bahawa secara tidak rasmi dia berjaya mempertahankan kerusi DUN Bayan Lepas buat penggal kedua.

Difahamkan, Dominic ketika ini berada di Kuala Lumpur bersama-sama dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Gerakan, Oh Tong Keong berkata, setakat pukul 9 malam ini juga, tiada satu kerusi pun yang ditandingi calon-calon parti Gerakan menang pada PRN kali ini.

”Nampaknya 19 kerusi yang kita tanding tidak boleh menang, kita nampak pengundi Cina masih kuat menyokong DAP di Pulau Pinang.

”Kami menerima keputusan yang telah dibuat rakyat Pulau Pinang ini dan akan teruskan perjuangan kami di blok pembangkang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Secara keseluruhan Gerakan diberikan tugas bertanding mewakili PN di 19 kerusi, namun parti itu berdepan cabaran besar kerana menghadapi DAP di kawasan majoriti Cina.

Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, beliau berharap kesemua calon Gerakan yang bertanding dalam PRN kali ini tidak berputus asa dan terus menjalankan tugas mereka bagi membantu rakyat.

”Memang sukar untuk calon Gerakan pecahkan undi pengundi Cina terhadap DAP tetapi kami akan teruskan usaha kami untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

”Kami masih ada calon-calon muda yang boleh diketengahkan dan kami yakin satu hari nanti parti Gerakan akan mendapat tempat di hati pengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya