PETALING JAYA: Biarpun beraksi dengan kekurangan pemain, skuad ragbi remaja bawah 20 tahun (B20) kebangsaan berjaya meraih tempat selaku naib juara dalam Kejohanan Ragbi Asia B20 di Kathmandu, Nepal, kelmarin.
Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan, malah memperbaiki pencapaian tahun lalu di kedudukan ketiga, sekali gus membuktikan skuad tersebut telah mengambil pengajaran berharga dan mengubah keputusan tahun ini dengan pulangan lebih baik.
Tewas kepada Hong Kong, 14-19, perbezaan lima mata itu bagaimanapun tidak menghampakan ketua jurulatihnya, Syed Syazril Syed Mahazil kerana mengakui pasukannya telah memulakan perlawanan dengan perlahan namun berjaya layak ke pusingan akhir.
“Di final, kita kehilangan dua pemain di posisi penting akibat hentakan di bahagian kepala tetapi yang buat saya kagum, semangat semua pemain termasuk di bangku simpanan berhasil beri kesan kepada seluruh pasukan.
“Semasa kami kalah teruk 5-26 kepada Hong Kong pada hari pertama, aksi itu menjadi ‘wake up call’ kepada pemain untuk bangkit dan tempah slot ke final.
“Untuk keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi mereka kerana kami hanya berlatih dalam waktu singkat dan tidak sangka mampu beri saingan kepada pasukan ragbi Asia yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Skuad bimbingannya telah menjalani latihan berpusat di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Desaru, Johor dalam tempoh kurang dari sebulan dengan memberi penekanan kepada corak perlawanan berintensiti tinggi.
“Semasa latihan, kami tumpu kepada aspek ‘conditioning’, penerapan terhadap situasi sebenar perlawanan dengan tiga kali sesi setiap hari.
“Tahun ini, kita membariskan seorang saja pemain dari pasukan tahun lalu, Danny Iskandar, selebihnya semua muka baharu. Kami ada 12 pemain yang terdiri daripada tiga bawah 18 tahun, enam bawah 19 tahun dan 3 lagi bawah 20 tahun,” katanya.
Dalam Kejohanan Ragbi Asia 2022 di Uzbekistan, Malaysia telah mendapat tempat ketiga selepas menang ke atas India, 26-12.-UTUSAN