KUALA SELANGOR: Ratusan kenderaan dilaporkan kerap terbabas ke dalam parit setiap kali melalui laluan sempit di Jalan Akob Bukit Kerayong, Jeram di sini, sejak lima tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, isu itu dihadapi pengguna jalan raya terutama penduduk setempat sejak sekian lama.
“Keadaan itu berpunca apabila laluan sempit sepanjang 10 meter itu tiada penghadang di kanan dan kiri bahu jalan.
“Saya difahamkan memang ada penghadang jalan sebelum ini kemudahan itu semakin usang dan runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini.
Jelas berkata, laluan sempit itu sering kali digunakan kenderaan berat yang menggunakan jalan itu ke tapak pembuangan sampah berhampiran.
“Saya difahamkan isu ini masih berlarutan sekian lama namun belum ditangani hingga mengakibatkan pelbagai jenis kenderaan terperosok ke dalam parit.
“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, saya mencadangkan laluan itu dipasang penghadang jalan dan papan tanda keselamatan kedua-dua arah supaya pengguna tidak memandu laju,” ujarnya.
Tambah Harrison, penduduk turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina bonggol di jalan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebagai langkah mengurangkan kemalangan
“Terdapat banyak kenderaan berat melalui laluan itu dan berisiko berlaku kemalangan melibatkan murid sekolah.
“Kita minta JKR membina bonggol di laluan lima kilometer berhampiran sekolah ini kerana kenderaan sering dipandu laju dan bimbang berlaku kemalangan apatah lagi melibatkan murid sekolah,” kataya.
Sehubungan itu, beliau akan menemui JKR Kuala Selangor bagi membincangkan dua permasalahan itu Isnin depan. – UTUSAN