Ramdan elak konflik Misbun jejas tugasnya di BAM

Ramdan elak konflik Misbun jejas tugasnya di BAM

MISBUN Ramdan Misbun (kiri) dan Misbun Sidek (kanan) bersama pemain remaja yang beraksi dalam kejohanan Pembangunan Jaya Raya di Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih perseorangan remaja negara, Misbun Ramdan Misbun tidak merasa kekok sebaliknya kekal fokus dengan tugasnya untuk mempersiapkan pemain terbaik ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) bulan biarpun wujud konflik antara bapanya, Datuk Misbun Sidek bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ramdan yang mula mengendalikan pasukan remaja negara sejak Mei lalu akui dia hanya mengetahui berita penolakan tawaran bapanya untuk menyertai semula BAM menerusi akhbar.

Baginya, tiada apa yang di boleh lakukan sebaliknya fokus untuk membantu menaikkan semula prestasi skuad remaja negara memandangkan Kejohanan Remaja Dunia akan berlangsung kurang lima minggu sahaja lagi.

Skuad remaja negara diundi dalam Kumpulan C bersama England, Latvia, Austria dan Poland untuk acara berpasukan campuran dengan hanya juara kumpulan sahaja layak ke saingan suku akhir.

“Tugas saya dah diberi sebelum ini untuk menjadi jurulatih perseorangan bawah 18 tahun, jadi apa sahaja nasihat dan tunjuk ajar yang pernah diberikan (Misbun), saya tinggal jalankan sahaja, hendak fikir banyak pun tak boleh, jadi teruskan sahaja.

“Sebab saya dah biasa dengan caranya, jadi apa yang dia sudah bina di sini dan kini tidak lagi bersama kami memang rasa sayanglah, sebab dia amat mengambil berat terhadap semua pemain. Jadi kini menjadi tanggungjawab saya dan jurulatih lain untuk meneruskan kerja-kerja mengasah pemain di sini.

“Saya langsung tidak rasa tersepit kerana itu adalah antara dia dan BAM, saya dibawa masuk untuk menjaga dan melatih pemain remaja, jadi saya anggap sahaja ini cabaran untuk membimbing pemain-pemain muda,” jelas Ramdan yang ditemui Utusan Malaysia.

Ramdan yang pernah bergelar juara kebangsaan 2012 juga menjelaskan pendekatan latihannya juga sedikit berbeza namun masih mengekalkan acuan sama daripada bapanya.

Selain Ramdan, skuad perseorangan remaja negara kini diuruskan oleh dua orang lagi jurulatih iaitu Mohd Hazwan Jamaluddin dan Goh Giap Chin.

“Ayah adalah seorang jurulatih yang garang dan tegas, tetapi saya bukan seorang yang garang. Saya cuba sesuaikan pendekatan dengan pemain muda masa kini kerana saya mahu pemain-pemain saya faham dengan apa yang saya mahu sampaikan.

“Budak zaman sekarang nak kerahkan sangat pun tidak boleh, jadi lebih baik untuk membuatkan mereka faham, apa yang mereka perlukan untuk jadi bagus di dalam gelanggang,” tambahnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya