SEPANG: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Darren Ong berharap dapat meraih undi daripada beberapa kawasan yang pernah Parti Sosial Malaysia (PSM) perjuangkan isu rakyat sebelum ini.
Ia termasuk di Kampung Ampar Tenang, Flat Taman Permata dan Kampung Olak Lempit yang terkait dengan beberapa isu termasuk perumahan dan pencemaran alam sekitar.
Darren berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana PSM kali pertama bertanding di DUN ini.
Menurutnya, pihaknya mahu mendedahkan kepada pengundi di Dengkil pendekatan dan perjuangan politik baharu dibawa PSM.
“Penyertaan kami di Dengkil adalah memperkenalkan perjuangan PSM dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan berharap ia dapat menarik perhatian pengundi baharu,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, di sini pagi ini.
Selepas selesai mengundi sekitar 10.45 pagi tadi, beliau bergerak ke Kampung Ampar Tenang untuk meninjau proses pengundian di kawasan itu.
Secara keseluruhan, proses pengundian di DUN Dengkil berjalan lancar setakat pukul 12 tengah hari ini walaupun ‘kurang meriah’ pada sebelah pagi disebabkan hujan sekitar pukul 8 pagi tadi.
Malah, tinjauan di beberapa pusat mengundi di sekitar pekan Dengkil tengah hari ini mendapati, pengundi mula berpusu-pusu ke pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab.
Difahamkan, calon Barisan Nasional (BN), Noorazli Said mengundi di Tanjung Sepat sekitar petang ini, manakala seorang lagi calon Parti Utama Rakyat,
Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah difahamkan mengundi di Kota Warisan. – UTUSAN