GERIK: Program Puteri Belantara anjuran pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pos Kemar, Gerik Perak berteraskan pembangunan kepimpinan asas berjaya menarik minat 30 orang murid perempuan orang asli di sini.
Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi Dan Libatsama Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM merangkap ketua Program Puteri Belantara, Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata, anak-anak orang asli perlu diberikan peluang dalam bidang kepimpinan.
Jelasnya, menerusi program ini, ia akan menjadi platform buat mereka menonjolkan diri dalam kepimpinan.
“Anak-anak di sini berhak dicungkil bakat kepimpinan mereka seperti remaja perempuan di luar sana.
“Kepimpinan murid peringkat pertengahan kadang kala diabaikan apabila kita hanya memfokuskan murid cemerlang sebagai pemimpin. Kami mahu jadikan Puteri Belantara ini sebagai platform,” katanya.
Program ini telah diadakan dalam dua fasa iaitu pada 23 hingga 25 Jun dan 11 hingga 13 Ogos, mensasarkan 30 orang murid perempuan orang asli di sini.
Sementara itu, Ketua Peserta Program Puteri Belantara, Nana Adik berusia 15 tahun berharap program seperti ini akan terus diadakan terutama di kawasan anak-anak orang asli.
“Yek cen prog putri blantara, kembek sronok, (saya suka Program Puteri Belantara, kami mahu lagi),” ujarnya.
Program Puteri Belantara yang berakhir pada 13 Ogos lalu menyaksikan perjalanan jauh merentas Tasek Temenggor disusuli menyambung perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke Pos Kemar, Gerik Perak.
Program yang mengandungi slot berteraskan pembangunan kepimpinan asas ini turut diwarnai dengan 17 elemen Sustainable Development Goals (SDGs) dalam mengekalkan kelestarian dalam kepimpinan. SK RPS Kemar merupakan destinasi pertama untuk merealisasikan program pada kali ini.
Selain itu menurut Presiden Free Tree Society (FTS) Carolyn Joan Lau Yim Foon yang turut sama di sini, menyifatkan program ini unik kerana ianya turut melibatkan 30 orang ibu murid-murid terbabit.
Sifat kepimpinan mereka terserlah dalam slot ‘Hand in Hand’ bersama bonda puteri yang dijalankan oleh Dr. Aziah dan Art Theraphy oleh Dr Rafidah Kastawi (REST Counseling Centre).
Selain FTS, program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Negeri Perak dan Kedah, Global Citizenship Education Cooperation Centre, Universiti Sains Malaysia (GCC-USM), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak).- UTUSAN