DENGKIL: Parti Sosialis Malaysia (PSM) memilih untuk kekal memperjuangkan sistem pilihan raya kerajaan tempatan sebagai salah satu manifesto utamanya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Pengerusinya, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, manifesto ini turut dibawa empat calonnya yang bertanding masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Kajang, Kota Damansara dan Meru.
Beliau berkata, PSM adalah satu-satunya parti politik yang komited mahu mengembalikan sistem demokrasi tempatan itu di setiap negeri.
“Kami berpendapat setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melaksanakan sistem pilihan raya bagi memilih ahli majlis yang betul-betul peka tentang isu setempat.
“Selama ini, ahli majlis dilantik oleh PBT dan mereka dipilih dalam kalangan ahli-ahli parti politik yang selari dengan kerajaan negeri yang memerintah.
“Sistem pilihan raya tempatan ini adalah penyelesaian terbaik untuk setiap PBT di negara ini khususnya dalam memahami setiap masalah penduduk,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman manifesto calon PSM DUN Dengkil, Darren Ong di sini, hari ini.
Katanya, manifesto ini bukan perkara baharu bagi PSM, malah pihaknya sudah memperjuangkan idea itu ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput sejak 2008 hingga 2018.
Menurutnya, pelbagai alasan diterima supaya sistem itu tidak boleh dilaksanakan termasuk kegusaran yang timbul dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Isu itu sebenarnya boleh diatasi. Jika betul ia boleh dilaksanakan, PBT boleh sahaja membuka sebahagian pemilihan ahli majlis untuk proses pilihan raya, manakala selebihnya dilantik,” katanya.
Selain itu, katanya, PSM juga bertekad untuk menyelesaikan isu alam sekitar dan perumahan mampu milik untuk rakyat.
Bagi PRN Selangor kali ini, PSM mempertaruhkan Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan di DUN Kajang; Setiausaha Agung PSM, Sivarajan Arumugam (Kota Damansara); Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sivaranjani Manickam (Meru) dan Darren Ong (Dengkil). – UTUSAN