SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan 9 September ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Gendang sudah dipalu, kini parti politik yang berhasrat bertanding pada PRK tersebut mula mengatur strategi masing-masing.
Namun, antara yang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat ialah siapa calon yang bakal dipertaruhkan bagi memenangi dua kerusi tersebut.
Walaupun kemenangan itu nanti tidak mampu mengubah senario politik negara atau negeri, namun kejayaan tersebut pasti memberi gambaran tentang kekuatan dan sokongan terhadap sesebuah parti yang bertanding.
Yang pasti, Parti Amanah Negara (Amanah) akan menjadi ‘ayam sabung’ bagi gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.
Cakap-cakap politik turut menyebut beberapa nama yang berpotensi untuk dicalonkan bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Antara nama yang disebut ialah pemimpin yang ‘rapat’ dengan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, iaitu Setiausaha Politiknya, Suhaizan Kaiat.
Utusan Malaysia dimaklumkan nama beliau adalah satu-satunya calon yang dicadangkan oleh Amanah Bahagian Pulai untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.
Suhaizan bukan asing di negeri ini, malah beliau pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor semasa PH menumbangkan kerajaan BN di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun, terdapat juga ura-ura yang mengatakan berkemungkinan Amanah ingin mencalonkan salah seorang anak Allahyarham Salahuddin, iaitu Siti Fatihah, seorang peguam.
Walaupun kurang pengalaman dalam politik, namun langkah itu mampu menarik ‘simpati’ para pengundi bagi meneruskan usaha dan legasi ayahanda beliau.
Namun, tindakan itu tetap berisiko kerana bukan sahaja kurang pengalaman, namun sebagai calon ‘bidan terjun’ seperti itu mungkin kurang meyakinkan para pengundi, khususnya jika dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Pulai.
Andai ingin memberi peluang kepadanya, mungkin kerusi yang lebih sesuai adalah di DUN Simpang Renggam.
Biar beliau bertatih dalam politik di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum mencuba nasib di peringkat Parlimen.
Selain Suhaizan dan Siti Fatihah, nama Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad turut disebut-sebut boleh dicalonkan bagi mewakili Amanah pada PRK berkenaan.
Beliau juga bukan asing dalam politik Johor kerana pernah menjadi wakil rakyat Kota Iskandar selama satu penggal dan dilantik Exco kerajaan negeri semasa PH mentadbir negeri ini pada 2018 hingga 2020.
PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram dijangka menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN-PH dan PN kerana berkemungkinan besar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak bertanding.
Namun, kehadiran calon Bebas menjadi ‘kacau daun’ untuk menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN-PH dan PN.-UTUSAN