PETALING JAYA: Kapten Malaysian Tigers, Mohamad Marhan Jalil mengakui skuad negara kini berada pada tahap terbaik dan sudah belajar sesuatu terutama di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.
Malah Marhan meluahkan keyakinan pemain kini sudah bersedia untuk mengibarkan cabaran di pentas Sukan Asia Hangzhou yang mana misi merangkul emas perlu direalisasikan, selain mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik Paris.
“Satu pencapaian yang baik apabila kita berpeluang berdepan India dua kali di tempat mereka. Ia beri peluang kami menganalisa kelemahan perlawanan pertama dan perbaiki pada perlawanan kedua.
“Perlawanan pertama itu kesilapan kami kerana tak bermain dengan baik, kami berbincang dengan jurulatih dan pemain untuk tunjuk prestasi lebih tinggi dan apa yang perlu dibuat di waktu kecemasan pada perlawanan kedua.
“Perlawanan kedua kami tingkatkan prestasi, tak bagi India masa pegang bola, kelemahan di perlawanan pertama kami perbaiki masa final. Kita dapat bersaing dengan India tapi rezeki tak memihak kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam selepas tiba dari Chennai, India kelmarin.
Pada aksi final itu, skuad negara mendahului 3-1 pada suku kedua namun India bangkit menyamakan kedudukan 3-3 pada suku ketiga, sebelum mengesahkan kemenangan 4-3, empat minit sebelum wisel penamat dibunyikan.
Selain itu, Marhan juga mengakui dia gembira dapat melihat keyakinan tinggi yang dipamerkan dalam kalangan pemain muda sepanjang ACT berlangsung terutama ketika berdepan India sekali gus menjadi pengalaman berguna untuk di bawa ke Sukan Asia nanti.
Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke pentas akhir buat kali pertama dalam enam penampilan selepas menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.
Kejohanan 2023 turut ditamatkan dengan rekod lima kemenangan, dua tewas selain mencetak 13 gol padang dan 8 gol pukulan sudut penalti.
Sementara itu, pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj yakin anak buahnya lebih bagus daripada India dalam beberapa aspek.
“Pada pandangan saya, kita lebih bagus daripada mereka dari sesetengah aspek. Tapi dari tempo perlawanan mereka lebih bagus disebabkan mereka sentiasa bermain di peringkat tertinggi dan kini mereka ketiga dunia.
“India sentiasa bermain di tahap tertinggi di Liga Pro hoki dan sering menentang pasukan berintensiti tinggi seperti Belanda, Belgium dan Australia. Itu sebab kita mahu bermain dengan mereka.
“Jadi mereka bagus dari sudut itu tetapi dari segi organisasi, posisi atas padang, permainan secara berpasukan dan juga jaringan gol padang, pukulan sudut penalti (PC), kita lebih baik,” katanya.-UTUSAN