Orang Asli diajak kibar Jalur Gemilang tanda cintakan negara

Orang Asli diajak kibar Jalur Gemilang tanda cintakan negara

RAINA Anjang bersama kanak-kanak Orang Asli mengibar Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penghulu Kampung Aring 5, Pos Lebir di sini, Raina Anjang mengajak masyarakat Orang Asli mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini.

Beliau berkata, meskipun berada di kawasan pedalaman ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan simbolik kepada kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Menurutnya, setiap tahun dia tidak pernah jemu mengajak masyarakat Orang Asli untuk berbuat demikian bagi menyemai perasaan patriotik terhadap negara.

“Bulan Ogos merupakan bulan bagi mengingati ulang tahun kemerdekaan negara kita. Setiap rakyat harus mengibarkan bendera sebagai tanda cintakan negara dan mengenang jasa pejuang dahulu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Raina memberitahu, dia bersyukur apabila tinggal di negara Malaysia yang aman dengan rakyat berbilang kaum.

Katanya, setiap tahun dia akan membeli dan memacak bendera menggunakan kayu hutan di halaman rumahnya.

“Aktiviti mengibar bendera ini hanyalah usaha kecil saya sebagai rakyat berbanding pejuang dahulu yang menitis keringat dan darah untuk mempertahankan negara.

“Sempena Hari Kebangsaan ini saya berharap rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu dan tekad mempertahankan keamanan yang kita kecapi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Syaimi Abdul Hadi, 42, berkata, dia juga sanggup keluar ke bandar Gua Musang yang terletak kira-kira 80 kilometer untuk membeli bendera.

“Sambutan Hari Kebangsaan turut dirasai semua golongan termasuklah kanak-kanak sehingga warga emas.

“Kami sedar tidak mudah untuk rakyat menikmati keamanan yang ada sekarang tanpa perjuangan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat Malaysia kita harus menzahirkan semangat patriotik dengan mengibar bendera,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya