PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ untuk Ranhill Utilities Berhad (Ranhill Utilities) pada harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 73 sen selepas keputusan kewangan separuh pertama 2023 berada dalam jangkaan.
Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, Ranhill Utilities merekodkan untung bersih berjumlah RM12 juta bagi suku kedua tahun 2023 yang menjadikan pendapatan separuh pertamanya tahun ini kepada RM23.2 juta dengan masing-masing menyumbang 50/40 peratus daripada anggaran konsesusnya.
Pendapatan kumpulan juga turut meningkat sebanyak 72 peratus tahun ke tahun bagi suku kedua 2023, dipacu oleh pertumbuhan dua angka yang kukuh merentasi semua bahagian.
“MIDF Research tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan kami kerana keputusan separuh pertama 2023 adalah selaras dengan jangkaan disokong pemulihan pendapatan yang kukuh untuk Ranhill tahun ini.
“Antaranya adalah kenaikan tarif air bukan domestik untuk operasi air Ranhill di Johor, penambahbaikan dalam pendapatan bahagian tenaga daripada permintaan kuasa yang lebih tinggi didorong oleh cuaca panas, peningkatan penghantaran ke Sabah Timur dan permintaan tambahan daripada kilang pembuatan baharu SK Nexilis menjelang akhir tahun.
“Selain itu juga, pertambahan dalam buku pesanan bahagian perkhidmatan turut menyokong pemulihan dalam sektor minyak dan gas (O&G),” katanya.
Menurut MIDF Research lagi, rangsangan tunai daripada geran Air Tidak Terhasil (NRW) berjumlah RM142 juta ditambah dengan peningkatan pendapatan operasi teras dijangka mempercepatkan semula dividen pada masa hadapan.
Ujarnya, kejayaan projek loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 100MW di barat Sabah (COD:2026) serta penyiapan loji solar berskala besar (LSS4) menjelang akhir tahun akan menyokong prospek pertumbuhan pertengahan penggal.
“Justeru itu kami sekali lagi mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Ranhill pada harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM0.73 berpandukan beberapa potensi perluasan pendapatannya seperti pengembangan di dalam bekalan air sumber ke paip Indonesia (kapasiti 432MLD).
“Selain itu kami juga melihat potensi bagi projek LSS4 yang dijangka mencapai tarikh operasi komersial menjelang Disember 2023, penyiapan projek naik taraf grid timur ke barat Sabah, potensi kenaikan tarif air bagi sektor domestik serta penyiapan loji CCGT 100MW di barat Sabah menjelang Mac 2026,” katanya. – UTUSAN