PETALING JAYA: Selangor FC tetap fokus memburu kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini untuk mengekalkan status ‘Raja Lembah Klang’ sepenuhnya.
Melakar kemenangan bergaya 3-1 pada pertemuan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dalam derbi tetangga awal April lalu, Selangor bakal mengesahkan status penuh gelaran tersebut musim ini sekiranya menjinakkan The City Boys buat kali kedua.
Bagaimanapun, anak buah Tan Cheng Hoe dijangka berdepan cabaran lebih sengit kerana pasukan lawan pasti memperagakan taktikal dan strategi berbeza dibawah kendalian Nenad Bacina yang menggantikan Bojan Hodak.
Sembilan gol dalam dua perlawanan dibawah bimbingan Bacina, ketika menewaskan Kelantan FC 5-1 dan kemenangan 4-0 ke atas Penang FC memberi isyarat jelas kepada Selangor bahawa jentera serangan KL City begitu bernafsu meratah lawan.
Dalam masa sama, benteng pertahanan yang ‘tempang’ dialami Red Giants ketika ini selepas kehilangan Fazly Mazlan, Shahrul Nazeem Zulpakar serta pemain tengah, Alexander Agyarkwa Ameyaw menjadi kebimbangan buat Cheng Hoe.
“Kita akan turun tanpa tiga pemain utama iaitu Fazly, Shahrul Nazeem dan Alex kerana mereka digantung satu perlawanan selain Mickey (Faisal) yang digantung sebulan. Keempat-empat mereka ini tonggak utama, ia pasti beri kesan kepada pasukan.
“Untuk melawan KL City bukan satu kerja yang senang kerana dalam dua perlawanan terakhir mereka menang besar dengan membelasah Kelantan 5-1 dalam aksi Liga Super dan membenam Penang 4-0 dalam Piala Malaysia di gelanggang lawan.
“Selepas Bojan Hodak tiada, KL City lebih menggunakan corak permainan menyerang. Jadi, bahagian pertahanan kami perlu lebih bersedia dan dalam masa yang sama jentera serangan kita juga tidak boleh bazirkan peluang.
“Untuk barisan pertahan kita ada beberapa pilihan untuk menggantikan pemain yang digantung, kita akan gunakan masa yang ada untuk cari keserasian dan membentuk gandingan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, Selangor berada di kedudukan kedua Liga Super dengan 40 mata iaitu 14 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala KL City yang kini mendapat sentuhan Nenad Bacina berada di tangga keenam dengan 28 mata.-UTUSAN