PUTRAJAYA: Umpama mati hidup semula, demikian reaksi spontan Mohd. Sayuti Zahit apabila hasratnya menubuhkan kembali pasukan berbasikal benua tempatan termakbul.
Bekas pelumba profesional negara itu malahan terharu, kisah pembubaran Team Sapura Cycling (TSC) mencetuskan minat banyak pihak korporat bagi tampil membantu beliau.
“Alhamdulillah, memang perit lebih lima bulan lalu namun saya tetap cekal dan bersyukur dapat bangkit semula membina imej baharu pada kali ini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau hadir menyaksikan pelancaran rasmi pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan barisan pelumba oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini hari ini.
TSC yang diasaskan oleh Mohd. Sayuti pada 2017 lalu, pernah digeruni ekoran kejayaan mengungguli jersi kuning dan merah Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 2019 dan 2020.
Walau bagaimanapun, pasukan bertaraf No.1 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi jelajah Asia itu ‘berkubur’ apabila penaja utamanya menamatkan pembiayaan.
Usahanya mendapatkan penajaan baharu daripada lebih 500 firma korporat turut gagal sehingga beliau bertemu sendiri Hannah pada awal bulan ini untuk memohon bantuan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sayuti berkata, MPC boleh dianggap sebagai jelmaan semula TSC dan juga berdaftar dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
“Kami mengekalkan 70 peratus muka lama yang sudah berpengalaman dan baki adalah bakat baharu dicungkil menerusi proses saringan ketat oleh panel pasukan ini,” jelasnya.
Sebahagian besar pelumba ujarnya, merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dikenal pasti oleh Kementerian Pertahanan memiliki bakat dalam sukan itu.
Situasi tersebut turut memberikan kelebihan kepada MPC kerana mereka dapat berjimat kos gaji yang sudah dibayar pihak TLDM sendiri dan hanya fokus kepada aspek latihan.
Mohd. Sayuti yang pernah bersama pasukan Letua Cycling Team dari 2007 hingga 2009 berharap, MPC mampu melahirkan pelumba bertaraf dunia di kejohanan antarabangsa.
Ini kata beliau, termasuk jelajah elit terkenal di Perancis, Tour de France selain menjadi ‘kilang’ untuk Sukan SEA pada 2025, 2027 dan 2029 serta Sukan Asia di samping LTdL.
Ditanya berapakah kos minimum untuk dana penajaan pasukan tersebut, beliau berkata, mereka hanya memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun untuk ‘bernafas’ dengan selesa.
“Insya-Allah, apabila cukup tajaan, kami boleh tumpu kepada aspek pertandingan dan logistik kerana sukan ini agal mahal serta melibatkan kerjasama berpasukan,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah menyeru pihak swasta agar menunaikan tanggungjawab sosial korporat dengan menaja pasukan yang berpotensi besar mengharumkan nama negara.
Mereka boleh menghubungi pihak kementerian itu sendiri atau Majlis Sukan Negara jika tidak tahu cara penyaluran dana kepada organisasi sukan yang memerlukan bantuan.-UTUSAN