PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan keputusan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meletakkan jawatan lebih awal tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai pengerusi bersama ‘Road to Gold’ (RTG).
Ini kerana Norza dilantik dalam jawatankuasa sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan sebarang perubahan membabitkan tampuk kepimpinan BAM tidak akan mengganggu perjalanan program RTG.
Norza sebelum ini mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden BAM sejurus selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024, namun membuat kejutan apabila bertindak untuk undur diri lebih awal pada hujung tahun ini susulan konflik salah faham yang wujud bersama bekas pengendali perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek.
KBS pula mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri sebarang urusan dalaman persatuan, biarpun Norza secara peribadi pernah menghubungi Hannah mengenai perletakkan jawatannya dalam BAM.
“Sejak saya mengenali beliau dalam tempoh lapan bulan ini, dia merupakan seseorang yang menekankan peranan institusi, beliau mahu perbaiki peranan institusi tersebut. Bukan mengejar sebarang perkara peribadi ataupun jawatan. Jadi kita kena menghormati keputusan beliau.
“Saya belum melihat lagi sidang medianya tempohari. Beliau ada memaklumkan kepada saya untuk melakukan perjumpaan, tetapi kami belum sempat duduk bersama. Seperti yang saya maklumkan, peranannya dalam RTG adalah berdasarkan kedudukannya sebagai presiden MOM, jadi ia akan tetap berjalan seperti biasa.
“Untuk badminton, ia merupakan satu sukan yang popular di Malaysia, jadi rakyat mempunyai harapan dan tanggapan yang amat tinggi. Bukan satu jawatan yang senang untuk kita melakukan reformasi, dan bukan semua pihak orang boleh menerimanya.
“Jadi ketika ini kita bagi ruang buat BAM untuk menyelesaikan apa sahaja reformasi yang mereka mahu lakukan, dan di pihak KBS, apabila mereka sudah berbincang dan mencapai keputusan, kami perlu menghormatinya, “jelas Norza ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad wushu negara ke Kejohanan Wushu Remaja Asia yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Norza memegang tampuk kerusi presiden BAM pada 2017 daripada pemangku, Tan Sri Al Amin menerusi ‘gentlemen’s agreement’.
Sejak menjadi presiden BAM, Norza berjaya mengubah BAM menjadi antara organisasi sukan terbaik di Malaysia dengan kewujudan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara selain membawa masuk beberapa penaja besar ke dalam badan induk tersebut.-UTUSAN