PETALING JAYA: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta rekod baharu dunia iaitu memenangi semua 26 perlawanan Liga Super tidak kesampaian.
Impian itu berkecai selepas Kedah mengikat JDT 3-3 pada aksi ke-21 Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin ketika hanya enam perlawanan memisahkan skuad Harimau Selatan daripada melakar rekod sempurna meraih 26 kemenangan daripada 26 perlawanan dalam liga musim ini.
Selain memusnahkan impian JDT, skuad kendalian Nafuzi Zain juga menyekat JDT berpesta awal sebagai juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut.
“Ini satu mata yang amat berharga untuk kita terus berjuang dalam kelompok teratas. Persiapan kita sama saja seperti perlawanan sebelum ini tetapi apabila berdepan pasukan besar, sudah tentu fokus serta motivasi pemain itu dengan sendirinya akan meningkat.
“Perlawanan tersebut jelas berintensiti tinggi dengan kedua-dua pasukan saling menyerang serta menghasilkan perlawanan menarik untuk dilihat sepanjang tempoh 90 minit.
“Daripada apa yang ditunjukkan pemain, kita dapat gambaran sebenar bahawa inilah corak yang patut dimainkan selepas ini. Mereka perlu percaya dengan taktikal dimahukan dan memiliki keyakinan tinggi untuk bertemu sesiapa saja,”kata Nafuzi.
Berdasarkan semakan di laman sesawang rsssf.org, beberapa pasukan bola sepak pernah meraih musim sempurna dalam saingan domestik liga mereka yang jelas menjadi satu pencapaian yang sukar ditandingi namun dengan jumlah perlawanan yang berbeza.
Rekod terawal membabitkan musim sempurna dilakar kelab Scotland, Rangers FC pada musim 1898-99 yang menyaksikan mereka memenangi semua 18 perlawanan mereka dalam saingan Liga Divisyen Satu Scotland.
Selain Rangers, beberapa pasukan pernah merakam pencapaian sama apabila memenangi semua perlawanan liga mereka.
Antaranya Racing Club dari Argentina yang menang semua 13 perlawanan pada 1919, Ferencvarosi dari Hungary memenangi semua 22 perlawanan pada 1931-32 serta Dresdner SC dari Jerman pada 1942-43 dengan 23 perlawanan.
Selain itu, kelab dari Mauritius, Sunrise Flacq United pernah memenangi semua 22 perlawanan pada 1995-96 dan kelab dari Uruguay, Nacional dengan 20 perlawanan pada 1941.-UTUSAN