Jemaah Menteri, ahli Parlimen disaran jalani saringan kesihatan setahun sekali

Jemaah Menteri, ahli Parlimen disaran jalani saringan kesihatan setahun sekali

ZALIHA Mustafa melakukan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua Jemaah Menteri dan ahli Parlimen digalakkan supaya menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu juga diingatkan sekali lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesyuarat Kabinet, pagi tadi.

Menurutnya, saringan kesihatan berkenaan berkemungkinan akan mula dilaksanakan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan menggerakkan petugas-petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ke Parlimen.

“Cadangan (saringan kesihatan) itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) tempoh hari dan (mesyuarat) jawatankuasa ANMS (Agenda Nasional Malaysia Sihat) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) juga ada menyarankan untuk semua ahli Parlimen.

“Mengambil iktibar apa yang berlaku kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (dan) kita memperingatkan kepada semua ahli Parlimen untuk menjaga kesihatan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KKM 2023 di sini hari ini.

Media pada 29 Mac lalu melaporkan, semua ahli Dewan Rakyat sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bermula sesi persidangan Dewan Rakyat Mei lalu.

Terdahulu, menerusi ucapannya, Zaliha berkata, KKM terus komited dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjaga menerusi Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW.

Katanya, ia adalah platform dalam menyuntik advokasi kesihatan dan mempersiapkan warga kerja KKM ke arah tahap kesihatan terbaik demi meneruskan perjuangan dalam memperkasakan sistem kesihatan negara.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Zaliha berkata, kementerian akan melaksanakan pemberian suntikan vaksin influenza khususnya kepada petugas barisan hadapan bagi melindungi kakitangannya daripada virus itu.

“Ketika ini kita sedang menunggu untuk pembelian vaksin influenza sebanyak 150,000 dos,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya