PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘kebal’ apabila mengekalkan rekod bersih dalam saingan Liga Super musim ini.
Kemenangan ke-19 itu dilakar di laman lawan apabila skuad Harimau Selatan berjaya menjinakkan Sabah FC 5-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, Sabah terlebih dahulu mengejutkan JDT menerusi jaringan pembukaan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-13 hasil rembatan luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Ahmad Syihan Hazmi.
Namun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila JDT hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain import tengah, Juan Muniz.
Skuad kendalian Esteban Solari terus garang apabila menambah gol dan kali ini hasil penyudah Bergson menerusi sepakan penalti pada minit ke-23.
Sebelum berakhir babak pertama, Sabah berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan bola mati Telmo Castanheira sekadar melewati palang gol pelawat.
JDT hanya memerlukan tiga minit untuk terus menembusi gawang tuan rumah dan kali ini hasil ledakan penyerang import baharu Heberty Fernandes.
Bergson terus menambah derita pasukan tuan rumah pada minit ke-62 dan 73 untuk memastikan JDT berpesta gol sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan kutipan mata maksimum 57 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.-UTUSAN