Jangan anggap Timor Leste 'cap ayam' - Utusan Malaysia

Jangan anggap Timor Leste ‘cap ayam’

BARISAN Pemain muda negara menjalani sesi latihan menjelang aksi berdepan Timor Leste, malam ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) tahun negara diingatkan agar tidak mengambil mudah pertembungan dengan Timor Leste dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Piala AFF B-23 malam ini.

Malaysia hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul selaku juara kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir namun, cabaran Timor Leste tidak boleh di perlekehkan dan mereka juga boleh melakar kejutan bila-bila masa.

Perkara itu terbukti apabila skuad B-23 tewas 1-2 kepada Timor Leste dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan ketika aksi persahabatan pada April tahun lalu yang mengundang kritikan pelbagai pihak.

Ketika ini, skuad kendalian E.Elavarasan memimpin saingan Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata selepas menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, Indonesia dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu.

“Skuad negara kena kekal berwaspada dengan Timor Leste kerana jika mereka berada pada tahap terbaik, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Jadi, jangan ambil mudah dan kekal fokus cari kemenangan nanti.

“Kalau boleh, kita mahu rekod bersih di peringkat kumpulan dan menang kedua-dua perlawanan untuk memberikan semangat dan moral terbaik kepada pasukan untuk ke separuh akhir nanti,” kata bekas pemain kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizaruddin berkata, skuad negara juga perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh terlampau yakin apabila berdepan Timor Leste di Stadium Rayong, Thailand malam ini kerana mereka juga pastinya mengidamkan kemenangan.

Sehubungan itu katanya, strategi dan barisan pemain terbaik perlu digunakan oleh Elavarasan dalam memastikan skuad negara tidak tampil dengan persembahan sambil lewa hingga boleh memakan diri.

“Dalam aksi menentang Indonesia kita lihat Fergus Tierney cemerlang dengan dua gol, jadi jika boleh, saya mahu lihat dia diturunkan lebih awal dalam kesebelasan utama untuk merobek gawang Timor Leste.

“Kita bagi dia bina momentum dengan pasukan dan sekiranya berjaya dan mendahului beberapa gol, jurulatih mungkin boleh ambil pendekatan untuk bawa dia keluar dan simpan untuk aksi seterusnya,” katanya.

Format Kejohanan Piala AFF B-23 kali ini menyaksikan tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos nanti.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya