Isu REE: Bawa ke mahkamah? Tunggulah! - Saifuddin - Utusan Malaysia

Isu REE: Bawa ke mahkamah? Tunggulah! – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION Ismail ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin dengan NGO Anjuran Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang, di Bukit Jambul, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dibawa ke mahkamah selepas segala siasatan mengenainya selesai dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kes itu kini masih berjalan dan sedang diselesaikan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, tegasnya, siasatan pihak Jabatan Perhutanan ketika ini sudah pun selesai dan mendapati ada sabitan berkenaan tindakan menceroboh hutan simpan berkait kes kecurian REE tersebut.

“Jadi bahawa ini (pendedahan mengenai kecurian REE) cuma persepsi, dan kalau ada bukti bawa ke mahkamah (cabaran Muhammad Sanusi), tunggulah.

“Yang belum siasat satu saja, Pengarah (Pejabat) Tanah dan Galian yang kebetulan kawan baik (Muhammad) Sanusi. Di bawah Enakmen Mineral Kedah `chapter’ nombor 11, di bawah Peraturan 168, 169, 170, terang-terang menunjukkan itu bidang kuasa kawal selia Pejabat Tanah (Galian) dan kerajaan negeri untuk menyiasat insiden kecurian.

“Bahan bukti ada, 365 kampit (REE). Kenapa tak disiasat, (Muhammad) Sanusi kena jawab, yang tak disiasat ialah Pengarah (Pejabat) Tanah dan Galian,” katanya.

Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin dengan NGO Anjuran Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang, di Bukit Jambul, dekat sini malam tadi.

Terdahulu, Saifuddin Nasution ditanya mengenai gesaan Muhammad Sanusi semalam supaya beliau membawa bukti mengenai penyelewengan kes unsur nadir bumi ke mahkamah sekiranya segala dakwaan yang dibuatnya itu benar.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, tindakan itu lebih tepat berbanding melontarkan tuduhan dan dakwaan mengenai isu REE di Kedah di pentas ceramah.

Malah, Muhammad Sanusi turut menegaskan apa sahaja dokumen dikemukakan Saifuddin ketika ini bukannya bukti, sebaliknya sekadar hujah untuk membina naratif ketika kempen ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut menempelak Muhammad Sanusi berhubung dakwaan beliau tidak mempunyai bukti berkenaan segala pendedahan berkait isu REE berkenaan.

“Bukan tugas dia untuk mengatakan ada bukti atau tidak, tugas dia sekarang adalah `caretaker’ (MB) Menteri Besar. Siapa dia untuk katakan tidak ada bukti?

“Bukti hanya akan disiasat oleh agensi-agensi penguat kuasa,” katanya.

Setakat ini juga, tambah Saifuddin, dua agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Perhutanan dan Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan dan membuka kertas siasatan berhubung kecurian REE tersebut serta penglibatan sejumlah warga asing yang terlibat.

Malah, tambahnya, tangkapan, siasatan, pendakwaan dan sabitan juga telah dilakukan dengan sebahagian mereka yang terlibat dalam kes itu sekarang sedang meringkuk di dalam penjara.

Selain itu, ujar beliau, sebahagian yang lain juga masih dalam siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dengan sebahagian kertas siasatan misalnya di bawah Jabatan Mineral dan Geosains kini juga sudah di peringkat penasihat undang-undang kementerian terlibat.

“Jadi, apa maksud (Muhammad) Sanusi bahawa kita tidak ada bukti? Apa maksud dia ini (pendedahan mengenai REE) adalah persepsi?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya