Isu calon luar: Ashraf cabar Dr. Salmee, Abdul Ramli debat - Utusan Malaysia

Isu calon luar: Ashraf cabar Dr. Salmee, Abdul Ramli debat

MOHD Ashraf Mustaqim Badrul Munir (kiri) mencabar Salmee Said (tengah) dan Abdul Ramli (kanan) berdebat khususnya dalam isu dakwaan kononnya beliau adalah calon luar. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JERLUN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mencabar dua lawannya dari Pakatan Harapan (PH) dan Bebas berdebat khususnya dalam isu dakwaan kononnya beliau adalah calon luar.

Platform tersebut juga boleh digunakan oleh calon PH, Dr. Salmee Said menjelaskan apa yang telah dilaksanakan beliau sepanjang lima tahun sebagai wakil rakyat dan perancangan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu untuk DUN Kota Siputeh secara keseluruhan.

Katanya, beliau juga akan menggunakan platform tersebut untuk sekali lagi memberi penjelasan berhubung isu calon luar tersebut yang sering dimainkan oleh Salmee dan Abdul Ramli yang bertanding atas tiket Bebas itu.

Sehubungan itu, beliau berharap kedua-dua calon tersebut menerima pelawaan debat secara sihat dan harmoni itu.

“Saya bersedia mengatur debat tersebut dan berharap kedua calon berkenaan menyahut cabaran itu. Lokasi bagi penganjuran debat itu akan ditentukan dan jika mereka ada cadangan tempat lain saya sedia menerimanya.

“Apabila saya mengambil pendekatan lebih sederhana, kedua-dua calon tersebut terus memainkan naratif kononnya saya calon payung terjun, calon luar sedang sejak dari awal saya sudah bahawa di sini adalah kampung halaman saya di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Salmee dilaporkan berkata, beliau menjangkakan akan meraih kelebihan daripada krisis dalaman dihadapi calon PN dan Bebas.

Kata Salmee, calon PN yang diketengahkan itu adalah orang luar malah dia juga baru saja datang ke kawasan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Manakala Abdul Ramli yang lebih dikenali sebagai Latif pula berkata, gelombang PN dengan mengenengahkan siapa pun calon dianggap boleh menang tidak akan berkesan di Jerlun khususnya DUN Kota Siputeh.

Sebaliknya kata Abdul Ramli, pengundi di kawasan berkenaan lebih cenderung memilih calon dalam kalangan anak tempatan bukannya pemimpin dari luar kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata, menerusi platform debat tersebut, dua calon berkenaan juga dapat menggunakan ruang sepenuhnya bagi mengemukakan perancangan mereka untuk kepentingan rakyat Kota Siputeh.

“Dr. Salmee khususnya boleh jelaskan apa yang telah beliau laksanakan sebelum ini. Peranan Wakil rakyat ini bukanlah sekadar turun melawat orang sakit atau meninggal yang sememangnya merupakan perkara asas namun apa yang lebih penting tindakan menyeluruh dalam semua aspek untuk kesejahteraan masyarakat di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya