'Ini debat atau kelas membaca?' - Utusan Malaysia

‘Ini debat atau kelas membaca?’

RAFIZI RAMLI dan MOHD. SYAHIR SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempersoal tindakan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman yang mengambil masa agak lama apabila membaca beberapa petikan ketika bersemuka dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia.

Ini selepas Mohd. Syahir mendakwa bahawa kerangka Ekonomi Madani dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai identiti sendiri kerana banyak persamaan dengan dokumen dari Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Model Ekonomi Baru (MEB) yang pernah dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Berdasarkan pemerhatian, saya dengar ucapan Rafizi dalam bahasa Melayu, saya rujuk teks ucapan dalam bahasa Inggeris dan teks ucapan Perdana Menteri ketika peluncuran Ekonomi Madani, saya semak dengan dokumen seperti kertas dasar, nota polisi, nota nasihat, saranan dari IMF dan Bank Dunia kepada negara membangun seperti Malaysia.

“Saya dapati terlalu banyak persamaan, perkataan ke perkataan, saya tak kata Anwar dan Rafizi meniru, tetapi saya kata banyak yang sama, persoalannya apakah kiblat dasar ekonomi Anwar dan Rafizi? soal Mohd Syahir.

Beliau kemudian membaca beberapa petikan daripada beberapa laporan bagi membandingkannya dengan dasar ekonomi kerajaan ketika ini, walaupun diajukan mengenai keberkesanan model ekonomi oleh moderator.

“Ini bukan dokumen kerajaan, tapi perkataan sama, dan ini bukan model saya. Ini IMF dan Bank Dunia, dia suruh buat tiga empat perkara sama.

“Kita kena ada identiti, model kena ada hala tuju, nak pergi mana, kena ada identiti, kena patriotik. Macam saya, matlamatnya dan terasnya datang dari hati saya sendiri, saya rujuk kepada kestabilan nasional melalui dasar ekonomi serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat,” katanya.

Tindakannnya itu bagaimanapun dikritik oleh Rafizi kerana tidak menjawab soalan moderator.

“Saya pelik kita berbahas ke kelas membaca hari ini, sebab itu saya ajak berbahas sebab ada rekod daripada orang Presiden Pas. Sekarang orang paling pandai dalam Pas pun moderator tanya soalan lain, dia tak jawab tapi pusing-pusing,” kata Rafizi.

Beliau kemudian berkata, dasar kerajaan ketika ini mempunyai beberapa persamaan dengan MEB yang dilancarkan Najib pada 2010 namun ia ditambah baik selepas mengenal pasti punca kepada kegagalan model terdahulu.

“Kita perlu pelajari dan elak cara pentadbiran terdahulu melonjakkan kegiatan ekonomi ke arah nilai tinggi dengan ambil jalan ke arah projek mega, sebab itu, kita ada beberapa projek skala besar termasuklah MRT, ECRL dan 1MDB.

“Akhirnya kita tahu sebenarnya tak menyelesaikan masalah struktur tapi hanya kosmetik untuk memberi gambaran bahawa negara kita sedang rancak ekonomi dan sekarang tanggung hutang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan ketika ini memastikan projek swasta yang dilaksanakan adalah berdaya saing dan tidak melibatkan peruntukan rakyat.

Malah, beliau memaklumkan, MEB 2010 banyak menggunakan perunding luar sekali gus mengetepikan khidmat penjawat awam.

“Sebab itu pendekatan kita cukup berbeza, setiap satu kerangka diluncurkan setakat ini baik Ekonomi Madani, Pelan Peralihan Tenaga Baharu, baik Kajian Separuh Penggal tidak ada satu pun yang dibuat oleh perunding.

“Jadi Syahir cuba memberi persepsi ini seolah-olah ditiru. Sila bercakap kepada penjawat awam yang bertungkus lumus membuat kerja ini.

“Ada juga beberapa model ekonomi pada 2010 yang tidak mengambil kira beberapa perkara seperti gaji rendah, model itu langsung tak menyentuh mengenai gaji, sebab itu 12 tahun masalah gaji makin buruk. Sebab itulah pendekatan kita memastikan kerajaan campur tangan terus masalah gaji, ia bukan masalah sampingan. Ia masalah pokok yang perlu ditangani dengan cepat, ada perbezaan jelas, pendekatan telah dilaksanakan sekarang kerana telah kita ambil teladan daripada kegagalan model 2010,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya