BENTONG: Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor, Khamis lalu layak mendapat pelbagai faedah perkhidmatan meskipun mengambil cuti panjang sebagai Ketua Unit Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Raub.
Pengarah JAIP, Datuk Zulkifle Ali berkata, pihaknya akan membantu keluarga Allahyarham bagi mendapatkan pelbagai faedah perkhidmatan yang layak diterima termasuk pencen.
“Allahyarham yang berkhidmat dengan JAIP sebagai Ketua Unit Penguatkuasa Daerah Raub mula mengambil cuti tanpa gaji bermula Disember tahun lalu hingga 23 Disember ini.
FAEDAH
“Dia bercuti dan masih berkhidmat (dengan JAIP) jadi pelbagai faedah dan kemudahan dia layak dapat dan JAIP akan menguruskannya,” katanya di sini semalam.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Allahyarham Idris mula berkhidmat dengan JAIP pada 2008 dengan jawatan Penolong Pegawai S27 sebagai imam masjid.
“Sepanjang berkhidmat, Allahyarham bertugas dengan baik dan mempunyai keperibadian yang baik, dia tidak banyak cakap dan mempunyai perwatakan yang lembut tetapi cukup tegas,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga Allahyarham Idris terus menerima kunjungan orang ramai yang datang berziarah dan memberi sokongan di rumah keluarganya di Kampung Ketari di sini.
Semalam keluarga Idris menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong serta kunjungan kenalan dan orang ramai.
Isteri Allahyarham, Adlina Aishah Ahmad Rusli,41, berkata, sejak kejadian menimpa suaminya orang ramai tidak putus-putus menziarahi dan memberikan sokongan serta semangat kepadanya.
“Saya berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan yang membuatkan saya terus kuat dalam berhadapan dengan dugaan ini yang cukup besar ini,” ujarnya. – UTUSAN