Henti projek ganggu alam sekitar - Utusan Malaysia

Henti projek ganggu alam sekitar

ARRAYYAN Fadzil mengemudi rakit bersama sepupu ketika beriadah di Sungai Lipis, Raub, Pahang. Khazanah alam semula jadi perlu dijaga kerana ia menjadi tarikan pelancongan premium. – UTUSAN/SHAHRIL AZMAN ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu fokus menjaga khazanah alam semula jadi yang menjadi tarikan pelancong premium yang mahu menikmati keaslian sesuatu lokasi yang ditawarkan.

Presiden Pertubuhan Pelin­dung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean berkata, untuk itu beberapa projek pembangunan perlu diberhentikan seperti keputusan kerajaan membatalkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa di Pulau Tioman.

Katanya, projek-projek yang mengganggu alam sekitar perlu dihentikan kerana akan merosakkan sumber negara selain mendatangkan malapetaka kepada masyarakat setempat.

“Kemusnahan akibat tambakan laut di kawasan perlin­dungan marin tidak boleh dibaiki di era ekologi marin juga mengalami kemerosotan akibat pemanasan air laut dan pencemaran dari kawasan darat.

“Oleh itu rancangan pembangunan yang tidak mesra alam seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman, penambakan pulau buatan manusia Selatan Pulau Pinang-Langkawi tidak patut diluluskan.

“Sebaliknya kerajaan boleh menarik komuniti pelancong premium yang lebih meminati kawasan-kawasan yang masih mempunyai landskap yang tidak diusik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut selepas mesyuarat jemaah menteri diadakan.

Damien Thanam berkata, projek-projek mega lain seperti projek Penang South Reclamation, turut perlu dihentikan kerana boleh menyebabkan kehilangan nurseri industri perikanan.

“Malah projek penambakan Langkawi dijangka menyebabkan berlakunya pencemaran manakala bagi projek Ladang Hutan Kledang Saiong di Perak akan menyebabkan kemusnahan alam, risiko banjir dan kepala air seperti di Kampung Iboi, Baling selain haiwan liar kehilangan habitat,” kata beliau.

Selain itu katanya, projek rancangan kawasan khas Genting Hulu Selangor boleh mencetuskan risiko tanah runtuh seperti di Batang Kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya