SUDAH lima dekad Allahyarham Tan Sri P.Ramlee meninggal dunia, namun filem-filem sentuhan seniman itu sentiasa malar segar dan ditonton sehingga sekarang.
Malah, nama-nama pelakon yang pernah membintangi filem bersama legenda itu juga sudah ramai meninggalkan kita antaranya seperti Datuk Aziz Sattar.
Bagaimanapun, seniwati Sophia Ibrahim, 75, antara pelakon senior masih hidup yang pernah berlakon dalam filem arahan P.Ramlee.
Katanya, pengalaman melihat bapa saudara, Hussein Abu Hassan berlakon di Merdeka Studio, Singapura tidak semenamena menjadi punca rezeki buat Sophia menceburi bidang lakonan.
Ketika itu, katanya, ada seorang kru produksi berbangsa Cina yang bertanya kepada Hussein kerana berminat untuk menawarkan dirinya berlakon.
“Masa itu saya masih bersekolah lagi di Kampung Baru, tingkatan lima ketika itu.
“Balik rumah saya pun bercerita dengan mak dan ayah, boleh ke berlakon. Saya rasa sudah seperti anak emas di Merdeka Studio ketika itu,” kongsinya.
KENANGAN BERSAMA P.RAMLEE, SALOMA
BERKONGSI kenangan bersama P.Ramlee, Sophia berkata, dia mengagumi seniman itu kerana naskhah yang dihasilkan adalah berkisarkan realiti dengan penggunaan dialog spontan.
Selain itu, katanya, keperibadian P. Ramlee dan isterinya, Allahyarham Saloma sangat disanjung tinggi.
“Kak Saloma pernah hubungi saya cakap nanti balik dengan abang Ramlee (selesai penggambaran) makan di rumah.
“Mungkin mereka sayang saya masa itu. Kita pun sentiasa hormat, tak pernah berselisih faham atau bersikap kurang ajar dengan mereka yang lebih senior.
“Satu keistimewaan arwah yang saya pernah nampak, tengah bersembang tangan dia boleh gerak-gerak memikirkan lirik lagu baharu yang hendak dihasilkan,” jelasnya.
Hampir enam dekad berkecimpung dalam lakonan, nama Sophia masih diingati dalam kalangan pembikin filem tempatan.
Paling terbaharu, dia membintangi filem Imam arahan Mior Hashim Manap dengan memegang watak sebagai ibu kepada Faizal Hussein.
SEKSI TAK DIKECAM
DI sebalik kontroversi dan kecaman yang sering melanda pelakon sekarang, ibu kepada empat cahaya mata ini berkongsi pengalaman sendiri.
Katanya, tidak pernah dirinya menerima kecaman atau kutukan daripada mana-mana pihak walaupun hanya memakai baju dan seluar dalam ketika menjayakan sebuah babak dalam Dr. Rushdi.
“Kalau dahulu jangan cakaplah Sophia Ibrahim punya seksi. Saya tak pernah kena kecam. Kalau tonton Dr. Rushdi yang diadaptasi daripada kisah benar, saya hanya memakai baju dan seluar dalam sahaja.
“Sebab adegan itu hendak nampak benar, tak akan lepas berasmara terus ada baju. Adegan itu nak tunjuk yang saya terperanjat sebab ada lelaki lain datang nak tembak ketika itu.
“Adegan itu juga tak dipotong sebab itu adalah cara menunjukkan kebagusan kita dalam lakonan,” katanya yang pernah mendapat julukan ‘pinggang kerengga’.
JAMBATAN MAUT
SEPUPU kepada pelakon, Faizal Hussein ini berkata, dia terus menyatakan minat kepada bapa saudaranya yang dipanggil Pak Uteh.
Katanya, filem pertama yang dibintanginya adalah Jambatan Maut (1963) yang diarahkan oleh M.Yatim yang merupakan seorang sutradara dari Indonesia ketika masih di bangku sekolah.
“Saya memegang watak sebagai Hamidah dalam filem itu yang tinggal bersama ibunya yang buta.
“Ada adegan diganggu oleh Haron (ketua penjahat) dan tiga lagi kawannya selepas mandi dan mencuci pakaian.
“Selepas itu, dapat tawaran berlakon filem lain seperti Hujan Darah (1965), Gadis Langkawi (1966), Ragam P. Ramlee (1965) dan Dr. Rushdi (1970),” katanya.
Bagaimanapun, anak sulung daripada 10 beradik ini sempat meluahkan hasrat kepada P. Ramlee untuk menjadi penyanyi.
Kata Sophia, minat terhadap seni suara mula bercambah sejak zaman sekolah sehingga kerap membuat persembahan selepas mendapat kepercayaan daripada guru-gurunya.
“Saya cakap kepada dia (P.Ramlee) tak suka berlakon sebab suka menyanyi. Dia pun pelik sampai saya pergi uji bakat di hotel dan berjaya jadi penyanyi.
“Saya tak sempat buat album sebab bermula dengan menyanyi di kelab malam dan serata negeri pergi seperti Pulau Pinang, Kuantan dan Kuala Lumpur.
“Paling lama menyanyi di hotel. Pernah pergi Taiping satu show hanya dibayar RM75. Pernah juga rasa gaji RM400 dengan job menyanyi di sebuah hotel.
“Kalau dulu banyak show di jalanan berbanding sekarang lebih banyak kepada penganjuran acara dan majlis tertentu, ” katanya.