Datuk Mat disayangi kawan, lawan

Datuk Mat disayangi kawan, lawan

MOHD. Sabri Alwi melawat salah seorang penduduk di DUN Ladang, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Datuk Mat, ayah saya orang Pas, suruh anak-anak undi Pas belaka, tapi sampai masa masuk hospital swasta, bil cecah RM4,000, Datuk Mat bayor…aku ingat sampai hari ni.”

Itu antara luahan pengakuan penyokong Pas yang tular dalam Tik Tok milik calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd. Sabri Alwi baru-baru ini.

Beberapa pengakuan lain antaranya daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang memuji Mohd. Sabri kerana tidak lokek membantu tanpa mengira latar belakang politik pemohon sebaliknya mereka hanya diminta mengemukakan kad pelajar dan nombor akaun bank untuk menerima wang bantuan tersebut.

Mohd. Sabri ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, beliau sendiri tidak menyangka penyokong Pas berani membuat pengakuan tersebut secara terbuka semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) sedang berlangsung.

Katanya, setiap kali mendapat tahu kesusahan dari penduduk sekitar DUN Ladang, dia berasa terpanggil untuk membantu mengikut kemampuan yang ada tanpa mengira mereka penyokong UMNO atau Pas.

“Alhamdulillah, ada rezeki dalam bidang perniagaan. Itu lah yang saya gunakan untuk bantu setakat mana yang mampu, tak sampai hati nak kecewakan orang dalam susah.

“Saya bantu atas nama Islam, kita semua menghadap kiblat yang sama dan tak pernah terniat pun nak beza-bezakan UMNO atau Pas. Semuanya atas dasar kemanusiaan.

“Insya-Allah jika penduduk Ladang percaya dengan khidmat saya, semua bantuan ini akan diteruskan malah lebih ramai lagi akan dapat manfaat kerana tidak lagi sekadar menggunakan wang poket sendiri, sebaliknya ada peruntukan khas sebagai seorang ADUN nanti,” katanya.

Tambah Mohd Sabri, pendekatan politik ketika ini sepatutnya sudah bertukar dengan konsep berkasih sayang serta saling menghormati untuk mewujudkan satu komuniti yang dapat hidup dengan selesa dan harmoni.

“Sebab itu saya tak takut hendak bertegur sapa dengan penyokong Pas, pergi ke khemah mereka, tanya khabar dan santuni mereka kerana kita semua kan bersaudara.

“Saya nak hapuskan persepsi kepartian menebal yang sangat tidak bagus untuk masa depan generasi akan datang. Kita benam kebencian dan semai persaudaraan,” katanya.

Tambahnya, BN sebagai parti yang pernah memerintah negara lebih 60 tahun sudah terbukti keupayaannya dalam pelbagai bidang dan kejayaan itu akan dikembalikan kegemilangannya di Terengganu.

“Isu perumahan, perparitan, kemudahan infra asas, peluang perniagaan dan pekerjaan adalah antara yang kita tumpukan melalui Manifesto BN Terengganu, malah semua aspek kebajikan lain telah terangkum dalam akujanji tersebut.

“BN telah memperincikan satu demi satu hasrat dan tekad yang ingin dilakukan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri dan sangat rugi jika penduduk Terengganu menolaknya kerana kita bukan sekadar omong kosong, semuanya akan dilaksanakan untuk penduduk negeri ini.

“Cuma satu harapan saya, berilah peluang untuk saya mewakili Ladang, agar lebih mudah kita santuni dan beri bantuan yang diperlukan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya