PETALING JAYA: Penyertaan julung kali pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2023 menerusi acara 100 meter (m), diharapkan dapat menjadi titik permulaan untuk memperbaiki catatan masa lebih baik dalam Sukan Asia di Hangzhou, China, bulan hadapan.
Pendapat itu dikongsikan bekas pelari kebangsaan, Nazmizan Mohamad yang menegaskan, rekod 10.26 saat (s) yang diraih pelari berusia 19 tahun itu dalam pusingan pertama kejohanan di Budapest, Hungary, wajar dipuji kerana konsisten dengan catatan masa di bawah 10.30s.
Meskipun perjalannya terhenti seawal pusingan pertama, namun mahasiswa Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat itu masih berpotensi besar mencipta kejutan dalam temasya empat tahun sekali peringkat Asia, sekali gus meraih slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Peluang beraksi dengan pelari-pelari hebat dari benua Afrika, Amerika Selatan dan Eropah pastinya telah memberi pelajaran berharga buat wakil tunggal Malaysia itu yang berpeluang ke kejohanan berkenaan menerusi tiket wildcard (jemputan).
“Untuk kejohanan dunia kali ini, Azeem nampaknya kekal berlari sekitar 10.20s, di mana ketika Kejohanan Olahraga Asia di Thailand bulan lalu pun dia mencatat masa 10.25s di pusingan akhir.
“Bagi saya, sudah tentu kita mengharapkan Azeem perlu mempercepatkan lariannya untuk berada di kedudukan terbaik atau di podium Sukan Asia. Tempoh yang ada selepas ini, mungkin Azeem dan jurulatihnya boleh lihat semula bahagian yang perlu digilap dalam lariannya itu.
“Cuma sedikit pemerhatian saya adalah, di pusingan kelayakan, Azeem kelihatan perlahan pada 20m terakhir. Kalau diikutkan, dia sepatutnya berlari laju seperti biasa sebab tidak menerima saingan. Bagi saya, kalau dia kekal laju, mungkin boleh dapat dalam 10.18s atau 10.19s.
“Walau bagaimanapun saya faham kesukarannya untuk mengawal momentum larian sebab atlet-atlet di bawah bimbingan saya pun berdepan masalah yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Azeem telah bertanding dalam pusingan awal dan menjadi pelari terpantas (10.24s) yang melayakkannya ke pusingan pertama dan menamatkan larian dengan catatan masa 10.26s.
Dalam pusingan pertama itu, dia meraih kedudukan ketujuh daripada lapan peserta dalam Heat 4, dengan perbezaan masa sejauh 0.152s ketinggalan di belakang pelari di tangga pertama, Rohan Browning dari Australia.
Ini merupakan penglibatan julung kali Azeem dalam Kejohanan Olahraga Dunia dan sudah tentu membanggakan negara kerana berpeluang bertanding selepas meraih kedudukan terbaik dalam kalangan atlet kebangsaan, iaitu No.115 dunia sehingga melayakkannya menerima tiket wildcard.
Sementara itu, Azeem di laman sosial Twitter menyatakan kesyukuran dan berharap dapat mencipta lebih banyak kejayaan lagi selepas ini.
“Ini bukan yang terakhir, ini adalah Kejohanan Dunia saya yang pertama dan akan diingati. Semoga dapat (menyertai) lebih banyak lagi, insyaAllah, Alhamdulillah,” katanya.-UTUSAN