PETALING JAYA: Sebulan menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Astana Qazaqstan muncul pasukan berstatus WorldTeam terawal mengesahkan penyertaan pada edisi ke-27 perlumbaan dari 23 hingga 30 September depan.
Walaupun kurang menyerlah dalam perlumbaan besar antarabangsa sepanjang 2023, pasukan yang disifatkan antara muka tetap dalam LTdL sejak kemunculan kali pertama pada 2012 itu, masih dianggap antara pencabar hebat pada saingan lapan peringkat LTdL 2023 ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal memaklumkan, meskipun sudah mengesahkan penyertaan namun Astana masih belum menghantar senarai penuh nama-nama pelumbanya.
“Kesempatan menambah mata ranking dalam LTdL pasti tidak dilepaskan Astana terutama menjelang penghujung musim perlumbaan.
“Walaupun mereka mungkin tidak menghantar nama seperti Mark Cavendish, Simon Velasco atau juara kebangsaan kazakhstan, Alexey Lutsenko – saya pasti akan ada nama-nama pelumba berpengalaman diturunkan nanti,” kata Emir.
Tegasnya, Astana kini berada dalam keadaan terdesak untuk mengukuhkan pungutan mata dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi mengelak terjatuh ke kelompok bawahan.
Ranking terbaharu pasukan itu menunjukkan mereka berada di tangga ke-20 keseluruhan dalam pasukan profesional UCI dengan 4557.4 mata setakat 8 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Emir meramalkan Astana tetap akan menghantar barisan pelumba terbaik serta seimbang untuk meletakkan mereka di kedudukan teratas dalam klasifikasi keseluruhan dan Asia.
Antara nama yang berkemungkinan besar diturunkan Astana ialah pelumba-pelumba yang pernah menang dalam beberapa edisi LTdL terdahulu, seperti Yevgeniy Fedorov (Peringkat 1 LTdL 2020), Vadim Proskiy (tempat ketiga keseluruhan LTdL 2019) dan Yevgeniy Gidich (tempat keenam keseluruhan LTdL 2018) bagi memperkuatkan pasukan itu musim ini.
“Mereka pernah berkayuh dalam LTdL dan arif dengan haluan, cabaran cuaca panas dan hujan serta persaingan dalam LTdL. Pengalaman mereka mungkin dijadikan sandaran Astana,” katanya. – UTUSAN ONLINE