Arwah Heikal minat jadi juruterbang sejak kecil

Arwah Heikal minat jadi juruterbang sejak kecil

HUSNEIN ARAS ABDUL AZIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Dia (Heikal) memang minat nak jadi juruterbang sejak kecil, malah amat meminati karakter Han Solo dalam filem Star Wars,” kata Leftenan Komander Husnein Aras Abdul Azim, 46, abang kepada arwah Heikal Aras, 45.

Husnein yang juga Pegawai Staf Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata, kejayaan Heikal menjadi seorang juruterbang turut mendorong dua adiknya yang lain untuk bergelar juruterbang.

Katanya, dia amat berbangga dengan pencapaian adiknya itu untuk bergelar seorang juruterbang seperti yang diimpikan sejak kecil.

“Dia memang cukup minat nak jadi juruterbang, malah sanggup bergaduh dengan kami adik beradik kerana mahu merebut watak Han Solo.

“Kami empat beradik tidak menggangap pemergiannya sebagai satu kekurangan, malah, tangisan kami bukan sebab kehilangannya tetapi lebih kepada kenangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian jenazah Heikal di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20, di sini hari ini.

KELUARGA kepada arwah Heikal Aras Abdul Azim bersedih melihat jenazah pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA – HUSNI

Katanya, arwah disifatkan sebagai seorang yang ceria, penyayang, bapa yang baik, berakhlak tinggi, beradab dan sangat menghormati kedua ibu bapa.

Husnein berkata, dia cukup mengagumi arwah adiknya itu kerana setiap masalah dihadapi dengan tenang dan diatasi dengan senyuman yang cukup manis.

Menurutnya, dia kali terakhir bertemu arwah adiknya tiga bulan lalu sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dan tidak sempat bertemunya semula selepas pulang ke tanah air.

“Bagaimanapun, kami sentiasa berhubung menerusi panggilan video menggunakan aplikasi WhatsApp, malah setiap kali berhubung kami lima beradik sentiasa melawak dan menyakat antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya sama ada anak arwah ada menunjukkan minat sama bergelar juruterbang, Husnein berkata, dia mendapati anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain Heikal, 13, dilihat mempunyai minat dan cenderung yang sama dengan arwah.

“Daniel amat mahir serta amat bagus dalam membuat miniatur lapangan terbang menggunakan kadbod dan kemahiran itu mengatasi dan lebih baik berbanding arwah ayahnya,” katanya.

Mengulas mengenai hak jagaan dan kebajikan bagi tiga anak arwah, Husnein berkata, buat masa ini, kesemua anak arwah masih dalam jagaan ibu dan ayahnya, Abdul Azim Aras, 76, dan Noorhizan Mohd Salleh, 68.

“Kedudukan jagaan anak arwah kami akan bincang kemudian dan buat masa ini kami tumpukan urusan pengebumian ini dahulu dan urusan lain akan diselesaikan satu persatu,” katanya.

Arwah meninggalkan tiga anak hasil perkahwinan dengan Christian Yong iaitu Daniel, Suri Balqish, 10, dan Rafael Dzulqairy, 9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya