KUALA LUMPUR: Naib juara remaja dunia, Aira Azman muncul juara baharu Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM ke-38 selepas menundukkan Noor Ainaa Amani Ampandi dalam perlawanan akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.
Aira yang diletakkan sebagai pilihan kedua memerlukan masa 24 minit untuk mengetepikan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Ainaa 11-5, 7-11, 11-3, 11-9.
Kejayaan tersebut merupakan keputusan podium ketiga berturut-turut yang dicatat Aira dalam tempoh tiga minggu selepas pemain berusia 19 tahun itu muncul naib juara dalam acara perseorangan dan berpasukan pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Melbourne, Australia.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ivan Yuen meraih gelaran kelimanya selepas menewaskan pilihan pertama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-6, 11-8, 6-11, 11-6 dalam aksi yang berlangsung hampir sejam.
Aira ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembiranya meraih kejuaraan sulung di peringkat kebangsaan walaupun terpaksa berdepan dengan jadual yang cukup padat.
“Selama tiga minggu berturut-turut saya perlu beraksi dalam pertandingan dan ini adalah kejuaraan sulung saya di peringkat kebangsaan,” katanya yang memegang status selaku pilihan kedua.
Mengulas mengenai pertemuannya menentang Ainaa, pencabarnya itu bermain dengan cukup baik selepas dia mengejutkan pilihan pertama, Rachel Arnold pada separuh akhir, kelmarin.
“Kami berlatih bersama dalam tempoh yang agak lama, jadi, saya tahu corak permainannya,” ujar Aira yang akan terbang ke China, minggu depan, bagi memburu gelaran keenam pada Kejohanan Remaja Asia.
Dalam pada itu, Ivan ketika temui memberitahu, sukar untuk dia menjelaskan dengan kata-kata pencapaian cemerlangnya pada peringkat kebangsaan.
“Beraksi di gelanggang kegemaran saya, sukar untuk saya percaya berjaya menewaskan Addeen, dia telah bermain dengan baik sepanjang pertandingan ini.
“Apa yang lebih penting, kejuaraan kali ini saya dapat melihat peningkatan beberapa pemain muda yang mampu menghadirkan cabaran sengit kepada kami pemain senior, ini satu perkembangan yang baik,” jelas pemain berusia 33 tahun itu.-UTUSAN